Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Awang Ngah.

PERLU LALUI TIGA SARINGAN SEBELUM DISAHKAN POSITIF COVID-19

Oleh: Fansurina Abdullah

KUANTAN, 30 SEPTEMBER 2020: Individu yang bergejala perlu melalui tiga ujian saringan sebelum mereka disahkan dijangkiti wabak COVID-19.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Awang Ngah berkata, bagi sesetengah kes, pesakit terus disaring ke peringkat kedua atau ketiga bergantung kepada sejarah perjalanan pesakit.

“Bagi peringkat pertama kita akan melakukan ujian antibodi, peringkat kedua pula ialah ujian antigen dan ketiga ialah Ujian Reaksi Rantaian Polimerase (PCR) di mana keputusan ujian kebiasaannya lebih tepat,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu ujian COVID-19 Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah yang didakwa positif namun selepas ujian PCR didapati keputusan negatif.

Jelas beliau lagi, YB. Dato’ Haji Nazri melakukan ujian PCR bagi memastikan ketepatan hasil ujian yang telah diperoleh pada saringan pertama.

“Hasil ujian PCR mendapati keputusan adalah negatif di mana YB. Dato’ Haji Nazri disahkan bebas daripada jangkitan wabak COVID-19 dan telah pun dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Beliau juga berkata, kesemua kontak rapat dengan YB. Dato’ Haji Nazri juga adalah negatif dan tidak bergejala namun ujian saringan berikutnya akan dilakukan semula pada hari ke-13 kuarantin bagi memastikan beliau benar-benar bebas daripada jangkitan wabak COVID-19.

Katanya lagi, bagi kes-kes melibatkan orang ramai yang pulang dari luar negara atau pun ke kawasan wabak akan terus melakukan ujian saringan PCR tanpa melalui peringkat ujian antibodi atau antigen bagi memperoleh keputusan yang lebih tepat dan cepat.

“Orang ramai yang perlu melakukan ujian saringan secara sukarela juga boleh berbuat demikian di mana-mana hospital kerajaan dengan kadar bayaran di antara RM150 sehingga RM200 dan keputusan akan diperoleh dalam tempoh dua hingga tiga hari,” katanya.

Beliau juga menasihati orang ramai supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika berada di tempat awam dan sebolehnya elakkan diri daripada berada di kawasan yang sesak dan tertutup.

“Amalkan penjarakan fizikal selain memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dengan sabun serta mengamalkan penggunaan cecair pembasmi kuman sebelum menyentuh muka dan peralatan lain,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

 111 total views

Please follow and like us:
error
error: