KUANTAN, 18 MAC 2020: Hari pertama perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di daerah ini mendapati kebanyakkan penduduk mengikuti arahan berikutan beberapa jalan utama di bandar Kuantan lengang.
Tinjauan Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) mendapati beberapa laluan utama di daerah ini iaitu Jalan Wong Ah Jang, Jalan Besar, Jalan Bukit Ubi dan Jalan Mahkota lengang ekoran penutupan premis di lokasi terbabit.
Ini bertepatan dengan arahan oleh kerajaan supaya premis perniagaan yang tidak berkaitan dengan urusan penting ditutup.
Bagaimanapun masih terdapat peniaga yang tidak bertanggungjawab yang masih menjalankan perniagaan pasar pagi.
Namun, pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mengambil langkah yang cepat dengan mengarahkan agar perniagaan ditutup segera dan mengenakan tindakan sewajarnya kepada peniaga terbabit.
Pegawai Perhubungan Awam MPK, Puan Norkamawati Kamal berkata, kesemua peniaga terbabit berdegil menjalankan perniagaan siang tadi kerana mementingkan keuntungan semata-mata.
“Kebanyakan peniaga yang berdegil ini hanya mementingkan duit sahaja,” katanya ketika dihubungi UKOMP di sini hari ini.
Kesemua peniaga seharusnya mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap komuniti dan tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata.
Diharapkan situasi sama akan berterusan sehingga 31 Mac ini bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dikekang sekali gus mengurangkan jumlah kes yang semakin meningkat sehingga mencecah 790 kes pada hari ini.
Pastikan ahli keluarga kekal berada di lokasi masing-masing dan elak berada di dalam himpunan ramai selain mengekalkan jarak satu meter daripada orang lain. – PAHANGMEDIA