Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang, Rashima Baharudin.

PENTERNAK IKAN AIR TAWAR SUKAR PASARKAN BEKALAN WALAUPUN PERMINTAAN TINGGI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 08 APRIL 2020 : Penternak ikan air tawar di negeri ini menghadapi kesukaran bagi memasarkan bekalan ikan mereka berikutan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) walaupun mendapat permintaan yang tinggi di pasaran.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang, Rashima Baharudin berkata pihaknya menerima aduan daripada penternak ikan air tawar berikutan kesukaran bagi bekalan pemasaran.

“Bagi ikan air tawar, kita memang ada isu sedikit, sebab pemintaan tinggi tetapi kesukaran untuk rantaian bekalan pemasaran.

“Kalau contohnya, ikan patin dan ikan keli, pasaran kita biasanya ke Kuala Lumpur, jadi biasanya ikan air tawar ini memang di hantar ke restoran-restoran dan kebanyakan restoran tidak beroperasi jadi pemintaan tersebut sedikit terjejas,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian bakul makanan kepada wakil persatuan nelayan di Pejabat LKIM Kemunting di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak dan Ahli Dewan Negeri Beserah, YB. Andansura Rabu.

Walau bagaimanapun, Rashima berkata pihak LKIM akan membantu para penternak yang terjejas ini dengan meletakkan ikan mereka di pusat pengumpulan ikan yang ada di negeri ini.

“Penternak-penternak ikan ini boleh menjual ikan mereka kepada pusat pengumpulan yang kita telah sediakan ini, namun tertakluk juga kepada permintaan kerana kadang permintaan daripada pengguna itu berkurangan berikutan penutupan kebanyakan restoran di seluruh Malaysia.

“Namun kita ada beberapa pusat pengumpulan yang beroperasi di bawah pengurusan-pengurusan yang kita, LKIM lantik, dan kesemua pusat pengumpulan ini beroperasi seperti biasa,” katanya.

Mengulas mengenai bekalan ikan di negeri ini, Rashima berkata bagi daerah Kuantan, pihaknya tidak menghadapi masalah bekalan pendaratan ikan.

“Di Kuantan, kita ada satu kompleks pendaratan ikan yang besar, yang berkapasiti lebih kurang 300 buah biji bot, jadi kita tidak menghadapi masalah bekalan pendaratan ikan.

“Tetapi kita ada sedikit isu di Rompin, di mana kebanyakan bot tidak ke laut kerana kesukaran untuk memasarkan hasil tangkapan berikutan penutupan beberapa pasar borong yang berhampiran antaranya di Johor,” katanya.

Menurut beliau lagi, masalah berkaitan dengan kenaikan harga ikan juga tidak berlaku di negeri ini setakat ini.

“Harga setakat yang kita lihat masih stabil, tidak berlaku peningkatan yang ketara bagi semua spesis ikan, dan kita memang ambil risikan harga pada setiap hari dan kita lihat kalau ada pun kenaikan harga adalah dalam kadar yang normal seperti mana waktu musim bukan PKP.

“Kadang-kadang berlaku kenaikan harga adalah disebabkan spesis tersebut kurang di pasaran contohnya ikan kembung yang pada masa tertentu pendaratannya kurang jadi akan berlaku perubahan tetapi tidaklah menjejaskan harga terlalu ketara dalam waktu PKP ini,” katanya.- PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: