Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
KUANTAN, 24 MAC 2020: Seramai 10,000 penjawat awam lantikan negeri Pahang termasuk Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan-badan Berkanun Negeri Pahang bersedia memotong gaji mereka untuk disumbangkan ke Tabung COVID-19 Pahang yang telah dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Pahang.
YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, dengan pemotongan gaji ini dianggarkan sumbangan yang bakal diterima sekurang-kurangnya berjumlah RM100,000 sebulan.
“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, banyak pihak yang telah terjejas antaranya seperti penjaja, peniaga food truck dan pemandu teksi.
“Justeru usaha kecil ini merupakan pengorbanan penjawat awam Negeri Pahang dalam menunjukkan solidariti bersama rakyat Pahang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, bekalan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) adalah sangat kritikal pada masa sekarang dan merupakan salah satu perlindungan utama untuk petugas-petugas frontliners untuk memastikan mereka terhindar daripada wabak ini.
“Justeru, hasil perbincangan bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, timbul inisiatif untuk membuat PPE secara ‘do it yourself’ memandangkan keperluan ini mendesak.
“Usaha ini telah mendapat reaksi positif dan akan melibatkan NGO seperti PUSPANITA, BAKAT, Puteri UMNO dan beberapa NGO lain. Selain daripada itu, pihak Penjara Penor dan Penjara Bentong turut akan bekerjasama dalam
menyediakan PPE ini.
“Diharapkan usaha kecil ini akan dapat membantu petugas-petugas kesihatan yang amat memerlukan. Saya menyeru agar lebih ramai Rakyat Pahang turut serta dalam usaha ini,” katanya. – PAHANGMEDIA