Penjawat Awam Digesa Muat Turun Aplikasi PahangGo

YAB Menteri Besar Pahang bersama kakitangan awam yang hadir

 KUANTAN 02 DISEMBER 2019 : Kerajaan Negeri Pahang menggesa semua penjawat awam di negeri ini untuk memuat turun aplikasi PahangGo bagi tujuan membuat pelbagai pembayaran bil dan cukai, selain mendapatkan hebahan informasi terkini berkaitan kerajaan negeri.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri telah menubuhkan PahangGo sebagai usaha mempelbagaikan sumber hasil kerajaan negeri.

“Kalau boleh saya hendak wajibkan setiap kita (penjawat awam) membayar bil menggunakan PahangGo kerana selain ianya memudahkan, aplikasi ini adalah kepunyaan bersama.

“Siapa lagi yang hendak menyokong PahangGo jika tidak kita semua, kerana jika PahangGo berjaya, yang akan mendapat faedah adalah kita semua juga,” katanya ketika berucap di Program Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang dan pegawai kanan kerajaan.

Beliau berkata, PahangGo dipertanggungjawab untuk memoden dan mendigitalkan sistem pengurusan kerajaan melalui sistem yang lebih terkini dan memudahkan rakyat.

“Dengan adanya platform ini, rakyat akan lebih mudah untuk membuat semakan tunggakan dan seterusnya membuat pembayaran kerana bayaran bil utiliti, cukai serta pembayaran kompaun kini boleh dibuat melalui satu aplikasi.

“Usaha ini akan meningkatkan kutipan kompaun yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebanyak 20 peratus menjelang tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata, antara inisiatif yang sedang dibangunkan adalah sistem parkir secara ‘mobile’ di mana 50,000 petak parkir milik 11 PBT akan diuruskan secara digital.

“Ini merupakan salah satu pilihan kepada kaedah pembayaran parkir menggunakan kupon pada ketika ini dan telah boleh dimuat turun bermula 23 Oktober lepas,” katanya.

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download