Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah.

PENINGKATAN KES COVID-19 DI KUANTAN TIADA KAITAN DENGAN SUKPA

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 12 DISEMBER 2020 : Kuantan mencatatkan 26 kes baharu COVID-19 pada hari ini dan ia sama sekali tiada kaitan dengan penempatan Kluster Jalan Genting di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Stadium Tertutup SUKPA di sini.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah berkata, Kluster Jalan Genting tidak berkait langsung terhadap 26 kes di daerah Kuantan sepertimana yang tular.

“Peningkatan kes di Kuantan tiada kaitan langsung dengan 131 pesakit dari Kluster Jalan Genting yang kini dikuarantin dan dirawat di SUKPA sebagaimana yang ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.

Katanya, Kluster Jalan Genting itu yang melibatkan pesakit bukan warganegara kini dikawal ketat dan tidak mungkin boleh tersebar kepada masyarakat setempat.

Peningkatan kes ini juga berkemungkinan ekoran pergerakan orang ramai dari kawasan lain ke daerah Kuantan.

Dalam pada itu, katanya, sehingga kini ke semua petugas kesihatan telah ditempatkan di SUKPA dan proses rawatan berjalan dengan lancar.

“Alhamdulilah semua petugas dan keperluan perubatan mencukupi ketika ini malah ada antara petugas kesihatan dari Pahang turut dipinjamkan ke pusat kuarantin lain seperti di MAEPS Serdang,” katanya.

Masyarakat dinasihatkan agar tidak cemas dan menyebarkan berita palsu yang tidak benar sehingga mengundang kebimbangan di kalangan masyarakat setempat.

Orang ramai yang tidak mempunyai urusan penting di luar rumah dinasihati agar menjauhi kawasan yang sesak selain membudayakan norma baharu dengan memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 3,810 total views,  6 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download