Gambar hiasan

PENIAGA SAMBUT GEMBIRA SYARAT BERNIAGA DILONGGARKAN

KUANTAN, 13 NOVEMBER 2020 : Keperihatinan Kerajaan Pahang melonggarkan syarat kepada para peniaga di negeri ini untuk menjalankan perniagaan di mana-mana lokasi yang bersesuaian disambut baik oleh peniaga.

Peniaga makanan, Zaid Abdullah Omar, 36, berkata, kelonggaran yang diberikan oleh Kerajaan Pahang ini adalah sangat bagus kerana ia dapat membantu ramai peniaga yang terkesan dengan wabak COVID-19 ini.

Zaid Abdullah Omar

“Bagi saya apa yang Kerajaan Negeri buat ini adalah satu langkah yang bagus dan wajar terutamanya kepada para peniaga yang sedia ada mahupun peniaga yang baru ingin berniaga.

“Kelonggaran ini sangat diperlukan kerana ramai di antara kami para peniaga yang terjejas teruk dengan keadaan ekonomi sekarang,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Tambah beliau lagi, peluang yang diberikan oleh Kerajaan Negeri untuk mendapatkan lesen berniaga adalah perkara yang dinantinya sejak sekian lama.

“Saya ada baca hantaran di Facebook YAB Menteri Besar Pahang mengenai perkara ini dan memang akan mohon lesen untuk meniaga di tapak sekarang.

“Sebelum ini saya dah cuba mohon tetapi ditolak oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) walaupun dah hampir 10 tahun berniaga di tapak ni,” katanya.

Sementara itu, peniaga kraftangan di Serambi Teruntum, Syairah Aisyah Yusoff, 30, berkata, perkara ini adalah langkah yang tepat memandangkan banyak peniaga yang mula berniaga bagi menambah pendapatan pada masa kini.

Syairah Aisyah Yusoff

“Walaupun saya tak berniaga di gerai dan mempunyai kedai sendiri di sini tetapi perkara ini saya rasa tepat dan bagus demi kemaslahatan rakyat.

“Kami sebagai pekedai juga minta Kerajaan Negeri untuk bantu kami para pekedai yang ada terutamanya dalam pengurangan kadar sewa oleh MPK kerana kami turut terkesan dengan wabak ini,” katanya.

Peniaga kuih, Siti Khadijah Rahmatiyari, 34, berkata kelonggaran yang diberikan oleh Kerajaan ini disifatkan sebagai salah satu cara berkongsi rezeki sesama para peniaga.

“Bagus bila Kerajaan Negeri buat macam ni sebab ramai yang hilang kerja sekarang. Bolehlah kita sesama peniaga ni pakat-pakat cari rezeki untuk keluarga masing-masing dan ini juga salah satu cara berkongsi rezeki yang ada.

“Tetapi diharapkan para peniaga ini akan ikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan kita semua,” katanya.

Kerajaan Negeri melalui MPK semalam telah melonggarkan syarat kepada para peniaga di negeri ini dengan memberikan kebenaran kepada mereka melaksanakan aktiviti perniagaan di mana-mana lokasi yang bersesuaian sebagai tanda prihatin terhadap keadaan ekonomi rakyat yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download