YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin (tengah) dalam sidang media di Wisma Sri Pahang, di sini.

PENGUSAHA INAP DESA, RUMAH INAP PERLU BERDAFTAR

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN: Semua pengusaha inap desa dan rumah penginapan di negeri ini perlu bersedia mendaftarkan premis masing-masing bermula tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, hal berkenaan diberi perhatian serius ekoran kesukaran pihaknya mendapat data sebenar pelancong yang datang ke negeri ini.

Menurutnya, seramai satu hingga dua juta pelancong gagal direkodkan kerana mereka memilih untuk tinggal di inap desa atau rumah inap yang tidak berdaftar.

“Jadi kita memerlukan ‘the big data’ atau data terperinci kehadiran pelancong ke negeri ini sekaligus memudahkan proses kita merancang pembangunan pelancongan Pahang pada masa akan datang.

“Kita akan buka peluang kepada mereka untuk mendaftar secara sukarela melalui pihak berkuasa tempatan (PBT). Apabila mereka berdaftar, kita akan dapat akses maklumat tempat-tempat tersebut.

“Ia akan dilaksanakan dalam tahun ini bermula pada satu tarikh yang akan kita tentukan. Setakat ini, di Pahang hanya ada 352 buah rumah inap yang berdaftar sedangkan kita tahu begitu banyak yang beroperasi sehingga hari ini,” katanya dalam sidang media di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Tourism Pahang, YBhg. Datuk Ishak Mokhtar dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Haji Edros Yahaya.

Sementara itu, dalam masa sama Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar berkata, pada tahun lepas Pahang menerima kira-kira 14 juta orang pelancong.

“Bayangkan, jika kita tambahkan dua juta jumlah pelancong yang tiada dalam data, perbelanjaan yang dikeluarkan kesemua pelancong adalah kira-kira lebih RM12 bilion. Ia adalah satu jumlah yang besar dan menjamin keyakinan pelabur baru dan lama untuk terus melabur di negeri ini.

“Jadi, tiada sebab untuk mereka tidak mendaftar apatah lagi banyak faedah yang akan diterima terutamanya dari sudut promosi selain bantuan dan kursus-kursus berkaitan yang disediakan kerajaan kepada mereka,” katanya.

Katanya lagi, kerjasama mereka juga akan memudahkan lagi pelancong dari dalam dan luar negara mencari tempat penginapan di kawasan-kawasan menarik namun tidak mempunyai hotel atau resort. – PAHANGMEDIA

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download