Keadaan Masjid Jengka 1 di Maran yang masih terbengkalai

PENGUBAHSUAIAN MASJID FELDA JENGKA 1 CUBA DISIAPKAN SEBELUM HUJUNG TAHUN

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 02 OGOS 2021 : Pengubahsuaian masjid Felda Jengka 1 yang masih terbengkalai akan cuba disiapkan sebelum hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata beliau akan memastikan Felda mengambil tanggungjawab menyiapkan masjid ini.

“Saya selaku wakil rakyat kawasan juga rasa sangat-sangat dukacita dengan apa yang berlaku dan saya minta supaya pihak Felda dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera.

“Kalau ikutkan saya rasa dukacita, saya rasa frust, saya rasa nak marah juga tapi insyaAllah saya akan pastikan pihak Felda mengambil tanggungjawab dan dapat menyiapkan masjid ini sebelum hujung tahun ini,” katanya dalam satu video di dalam Facebooknya.

Beliau berkata pihaknya telah melawat masjid berkenaan pada 8 Julai lepas, namun sehingga semalam, tiada sebarang kemajuan pengubahsuaian berjalan.

“Seperti yang saya janjikan pada 8 Julai yang lepas sewaktu saya ke sini melihat keadaan masjid Felda Jengka 1 yang terbengkalai pengubahsuaiannya ini dan saya datang lagi hari ini pada 1 Ogos untuk melihat progress tapi malangnya saya memang rasa sangat dukacita. Beginilah keadaan saya datang pada 8 Julai itu, macam inilah juga,” katanya.

Beliau turut melahirkan perasaan dukacita dengan pihak pengurusan Felda yang tidak memberi sebarang maklumbalas berkaitan hal ini.

“Saya rasa dukacita juga dengan pihak pentadbiran Felda yang tidak update dengan saya apa-apa pun perkembangan.

“Saya difahamkan sebenarnya, ahli jawatankuasa masjid telah pun setuju pada 13 Julai untuk ubah skop mengikut apa dibincangkan dengan pihak pentadbiran Felda tapi sehingga hari ini pun tidak ada apa-apa maklum balas daripada pihak Felda,” katanya.

Menurut beliau lagi, beliau juga telah menghubungi pihak pengurusan Felda termasuklah Pengerusi Felda bagi menyelesaikan masalah ini.

“Saya sebenarnya dah menghubungi pihak Pengurus Besar Wilayah Jengka dan menghubungi Pengerusi Felda sendiri, Dato’ Sri Idris Jusoh dan saya mintalah supaya Felda mengambil tanggungjawab yang serius.

“Sebab tengoklah keadaan masjid ini dah berapa bulan daripada awal tahun ini menyebabkan penduduk Felda Jengka 1 ini merasa sangat kecewalah, sangat dukacita sebab mereka mengharapkan dapat masjid yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut berharap penduduk Felda Jengka 1 untuk bersabar dan sama-sama berusaha menyelesaikan masalah ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download