Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika mengadakan mesyuarat bersama JKKK Kampung Nenasi Pantai di Pekan.

PENGHULU, KETUA KAMPUNG HARUS ADIL, JUJUR DAN AMANAH

Oleh: Mahathir Ali

PEKAN, 17 OKTOBER 2020: Penghulu, Ketua Kampung serta Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) yang dilantik Kerajaan Pahang perlu meletakkan keutamaan kerja kepada masyarakat lebih penting daripada keutamaan kepada diri sendiri.

Perkara berkenaan diingatkan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika mengadakan mesyuarat bersama JKKK Kampung Nenasi Darat dan JKKK Nenasi Pantai di sini semalam.

Beliau berkata, sebagai pemimpin yang dilantik, amanah dan tanggungjawab yang dipikul di bahu besar dan memerlukan pengorbanan serta keadilan dalam semua tindakan yang diambil.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika mengadakan mesyuarat bersama JKKK Kampung Nenasi Darat, Pekan.

Beliau juga mengingatkan mereka untuk terus berkhidmat dengan baik, menjalankan tugas dengan jujur, amanah dan seadil-adilnya tanpa mengira fahaman politik.

“Jangan mengira latar belakang politik, Kerajaan Pahang pimpinan Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail tidak pernah mengira tentang perkara itu, semua rakyat adalah sama dan semuanya perlu diberi perhatian dan pembelaan sewajarnya,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Katanya lagi, Kerajaan Pahang juga sentiasa memerlukan maklumat yang tepat agar tindakan segera dapat diambil untuk membela nasib rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menyampaikan sumbangan kepada seorang Pengerusi JKKK untuk urusan pentadbiran.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Bebar menekankan kepentingan meningkatkan kerjasama dan perhubungan erat antara semua pihak, Penghulu, Ketua Kampung, JKKK dan masyarakat setempat.

“Ia amat penting agar tindakan segera yang berkesan dapat dilaksanakan Kerajaan Pahang. Penghulu dan Ketua Kampung hendaklah segera maklum kepada wakil rakyat segala perkara yang terjadi.

“Saya selaku wakil rakyat di Bebar akan memberi perhatian dan tindakan sebaik mungkin serta seadil-adilnya demi kebaikan semua pihak,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga menekankan keperluan komunikasi yang baik antara Penghulu, Ketua Kampung dan masyarakat dalam menguruskan pentadbiran.

Beliau juga berharap penduduk dapat berbincang dari hati ke hati sekiranya ada apa-apa permasalahan dan perkara berbangkit.

“Janganlah kita cepat menabur fitnah atau mendengar tomahan yang tidak benar dan jangan cepat melenting atau mengambil tindakan yang tidak mendatangkan kebaikan bersama.

“Perpecahan hanya merugikan kita semua tambahan pula kita adalah umat Islam, orang-orang Melayu, sudah tentu merapatkan hubungan silaturrahim adalah tuntutan agama Islam,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

 122 total views

Please follow and like us:
error
error: