YB. Encik Abd Rahim bin Muda, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang.

PENGGUNAAN TULISAN JAWI BERKAIT DENGAN AKTA BAHASA KEBANGSAAN 1963/67

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 04 OGOS 2020 : Penggunaan tulisan jawi di papan tanda premis di negeri ini selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Abd. Rahim Muda berkata pada 13 November 2018 baginda bertitah supaya penggunaan tulisan jawi perlu diperluaskan di negeri ini.

“Baginda bertitah supaya tulisan jawi diluaskan penggunaannya di papan tanda jalan, premis perniagaan dan perumahan di seluruh negeri ini bagi memartabatkan semula tulisan itu yang semakin terpinggir pada ketika ini.

“Dalam titah baginda tersebut juga, baginda bertitah supaya penggunaan bahasa jawi diperkasakan, dibudayakan dan tidak mahu tulisan ini hilang begitu sahaja. Jadi baginda turut berkenan dengan penggunaan tulisan jawi di bangunan sebagai sebuah identiti yang perlu dibanggakan,” katanya.

Tambah beliau lagi, baginda juga pernah bertitah bahawa penggunaan tulisan jawi pada papan tanda tidak seharusnya menimbulkan polemik atau isu kerana ia hanya perlambangan identiti orang Islam dan budaya Melayu.

“Baginda bertitah bahawa melaksanakan papan tanda yang dipamerkan tulisan jawi ini bukanlah bertujuan menindas identiti bangsa-bangsa lain tetapi seharusnya semua pihak bergerak seiring,” katanya.

Tambah beliau lagi, Pemangku Raja Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga bertitah supaya memelihara dan memertabatkan tulisan Jawi.

“Baginda bertitah, tulisan Jawi adalah salah satu medium yang memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan Islam di alam Melayu.

“Titah baginda, sejarah menunjukkan bahawa tulisan jawi memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan Islam di alam Melayu di mana ia telah memainkan peranan sebagai alat komunikasi masyarakat terutamanya setelah kedatangan Islam,” katanya.

Tambah beliau lagi, oleh yang demikian penggunaan tulisan jawi pada papan tanda dan papan iklan di negeri ini tidak seharusnya dijadikan isu oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata lagi, pengunaan tulisan jawi ini juga berkaitan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menyatakan undang-undang berhubungan penggunaan bahasa kebangsaan termasuklah penggunaan tulisan jawi.

“Menurut Akta tersebut, bahasa kebangsaan atau tulisan adalah tulisan rumi atau jawi yang ditaksirkan sebagai Bahasa Kebangsaan.

“Jadi mana-mana pihak tidak boleh menyentuh isu tulisan rumi atau jawi jika ianya telah diwartakan bagi kerajaan persekutuan atau mana-mana negeri. Jadi saya minta peniaga tidak menjadikan tulisan jawi ini sebagai isu,” katanya.

Kandungan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67
Kandungan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67

Sejarah juga telah membuktikan bahawa bahasa Melayu dan tulisan Jawi telah memainkan peranan besar kepada kerajaan Melayu Melaka sehingga selepas kemerdekaan ianya telah ditukar kepada tulisan rumi sebagaimana yang ada sekarang.

Generasi muda harus mengetahui dan menyusuri sejarah bahasa dan tulisan Jawi yang telah meningkatkan hubungan perdagangan Tanah Melayu sehingga ke Negeri China dan seluruh dunia sehingga bahasa melayu di kenali sebagai ‘lingua franca’ yang dituturkan sebahagian dunia termasuk menggunakan tulisan Jawi.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga telah memberikan tempoh selama setahun kepada semua premis di negeri ini untuk memasang papan tanda dalam tulisan Jawi sebelum menguatkuasakan dasar ini pada 1 Januari lepas sebelum memberi nasihat dan mengeluarkan saman kepada mana-mana premis yang ingkar.

Daerah Pekan telah menjadi daerah perintis program dalam memartabatkan tulisan jawi oleh Majlis Daerah Pekan bagi penggunaan tulisan jawi di papan tanda perumahan dan jalan di kawasan perumahan sejak tahun 2005.

Ini juga membuktikan Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail sememangnya mengambil berat dan menjaga tulisan yang menjadi warisan orang Melayu ini.-PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: