Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 01 MAY 2020: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menganggarkan berlaku kenaikan sehingga 100 peratus kadar penggunaan elektrik secara keseluruhan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Pahang, Cik Rozianis Mohd Noor berkata kadar kenaikan ini boleh berlaku sebanyak 25 peratus sehingga 100 peratus.
“Kita jangka dulu semua bekerja, jadi sekarang kita duduk di rumah dengan bilangan ahli yang ramai, jadi penggunaan elektrik akan bertambah sehingga boleh jadi 100 peratus.
“Mungkin sebelum ini bil elektrik kita RM50 sebulan, tetapi semasa PKP ini, kalau kita betul-betul menggunakan elektrik, mungkin bil jadi RM100, akan naiklah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyampaikan sumbangan asas kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang hari ini.
Turut hadir Pengarah JKMN Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihak TNB tidak mengeluarkan bil seperti kebiasaannya semasa tempoh PKP dijalankan.
“Kita nak maklumkan kepada pengguna-pengguna elektrik, bahawa sepanjang tempoh PKP ini berlangsung, pihak TNB tidak keluarkan bil elektrik secara hardcopy.
“Jadi kita galakkan pengguna untuk muat turun aplikasi MyTNB untuk mengetahui bil elektrik terkini dan jumlahnya dan membuat pembayaran melalui atas talian.
“Kita juga mempunyai pusat-pusat pembayaran lain seperti 7 Eleven, di Petronas, di agen-agen bank yang berdaftar dengan TNB atau boleh hubungi talian hotline TNB di 1-800-88-5454,” katanya.
Beliau berkata pihak TNB juga turut menggalakkan pengguna untuk menggunakan elektrik secara bijak dan berhemah.
“Contohnya kalau kita tak perlukan penyaman udara di siang hari, mungkin kita tak perlu pasang.
“Pihak kerjaan juga telah memberikan diskaun Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang bermula 15 peratus sehingga 50 peratus. Jadi bil elektrik kita akan mengikut kadar diskaun yang telah ditentukan mengikut jumlah bil elektrik,” katanya.
Untuk rekod, pihak TNB Pahang telah menyumbangkan RM1.5 juta kepada Kerajaan Negeri Pahang meliputi pembelian peralatan, bantuan penyambungan bekalan elektrik sementara di 16 pos kawalan seluruh Pahang, sumbangan hidangan berbuka puasa bagi kakitangan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), sumbangan wang zakat kepada 11 Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Pahang, dan sumbangan kepada JKMN Pahang. -PAHANGMEDIA