Calon BN pada PRK Chini, Encik Mohd Sharif Md. Zain bersama Pengerusi BN Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Pekan, YB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika Majlis Pengumuman Calon BN di Bangunan UMNO Bahagian Pekan hari ini.

PENGERUSI MAJLIS BELIA FELDA WILAYAH KUANTAN CALON BN PRK CHINI

Oleh : Ain Nadhirah Basha & Fairus Mohd

Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 18 JUN 2020 : Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan, Encik Mohd Sharim Md. Zain dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Negeri Chini N23.

Pengerusi BN Pahang yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail membuat pengumuman calon BN itu pada Majlis Pengumuman Calon BN di Bangunan UMNO Bahagian Pekan hari ini.

Mohd Sharim, 41, yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian Pekan pernah menjadi pegawai kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, Allahyarham YB. Dato’ Sri Abu Bakar Harun sebelum ini.

YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata pemilihan Encik Mohd Sharim dilihat dapat meneruskan legasi perkhidmatan cemerlang Allahyarham di Chini sebelum ini.

Calon BN pada PRK Chini, Encik Mohd Sharif Md. Zain memperkatakan sesuatu kepada Pengerusi BN Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Pengumuman Calon BN di Bangunan UMNO Bahagian Pekan hari ini.

“Seperti yang kita semua sedia maklum, legasi rekod perkhidmatan yang baik Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar adalah sangat menebal di kalangan masyarakat Chini sama ada dari golongan peneroka Felda, penduduk kampung tradisi, dan masyarakat Orang Asli. Mereka sangat berpuas hati dengan cara Allahyarham bergaul mesra dan berkhidmat kepada rakyat.

“Antara winning formula untuk terus kekal menang dalam PRK ini, adalah dengan mempertaruhkan calon yang dirasakan dapat meneruskan legasi perkhidmatan arwah dan calon yang dirasakan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik atau setara dengan kehebatan arwah,” katanya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Pekan, YB. Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Beliau berkata pemilihan Mohd Sharim juga adalah berdasarkan tinjauan daripada input kluster pengundi yang ada di Chini selain pandangan rakan-rakan dalam Muafakat Nasional.

“Mengikut data pemilih yang telah diwartakan untuk PRK Chini ini, jumlah pengundi yang berusia 40 tahun dan kebawah mewakili sebanyak 56.97 peratus.

“Kami memahami akan hasrat orang muda agar golongan ini dapat diberi peluang dan ruang agar suara anak muda dapat kedengaran di dalam Dewan Negeri nanti,” katanya.

Sementara itu, YB. Datuk Seri Mohd. Najib berkata amat sukar untuk namakan calon yang dapat memberi kepuasan kepada semua pihak.

“Kita harap keputusan ini (pengumuman calon) diterima secara positif dan terbuka, dan yang penting adalah perjuangan parti yang sama-sama kita dokong selama ini.

“Perjuangan kita yang bermula di gunung Cameron Highlands diharap dapat berakhir dengan manis di lembah Chini dan keputusannya akan menjadi pemangkin kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti,” katanya.

Calon BN pada PRK Chini, Encik Mohd Sharif Md. Zain.

Sementara itu, Sharim sempat menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang memberi kepercayaan kepadanya menggalas amanah sebagai calon BN di Dewan Negeri Chini (N23).

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada ayahanda Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak kerana meletakkan kepercayaan kepada diri saya selaku anak peneroka dan juga generasi kedua Felda.

“Terima kasih juga kepada Dato’ Sri Wan Rosdy atas kepercayaan terhadap anak muda felda untuk berkhidmat sedaya mampu. Kalau dilihat calon semua terbaik tapi telah ditakdirkan saya menerima ketentuan Allah SWT untuk mewakili masyarakat Felda, kampung tradisi dan Orang Asli di Chini.

“Saya akan cuba menunaikan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah selain meneruskan legasi kepimpinan Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun yang menjadi ayah dan guru saya di Felda Chini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: