Penganjuran Program Bertaraf Antarabangsa Tingkat Industri Pelancongan Pahang

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Putera Falliq Hakim

KUANTAN, 14 Disember 2019 : Penganjuran program bertaraf antarabangsa di Pantai Cherating di sini seperti Safari Grom Search 2019 mampu meningkatkan industri pelancongan di negeri ini terutama pada musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, penganjuran program sebegitu bukan sahaja dapat mempromosikan pelancongan Pahang malah turut membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

“Pada musim tengkujuh sektor pelancongan terutamanya di kawasan pantai tidak mendapat sambutan kerana tiada aktiviti bersesuaian dapat dilakukan.

“Tetapi kali ini, aktiviti luncur air yang dianjurkan dapat menarik kedatangan pelancong daripada kalangan peluncur air ke Cherating meskipun pada musim hujan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Safari Grom Search 2019 hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pelancongan Negeri Pahang, YH. Dato’ Haji Edros Yahaya berkata, program yang melibatkan penyertaan tempatan, Singapura, Indonesia, Perancis dan India itu dapat mencungkil bakat baru dalam sukan luncur air.

“Dalam program itu juga, penganjur juga turut menyediakan klinik luncur air secara percuma kepada orang ramai.

“Kami sudah maklumkan kepada institusi pengajian tinggi awam dan swasta di sekitar Kuantan untuk sama-sama menyertai klinik luncur air yang disediakan sepanjang program ini untuk mencungkil dan mengasah minat di dalam sukan ini,” katanya.

Menurut Dato’ Haji Edros, Cherating menjadi pilihan pihak penganjur antarabangsa kerana merupakan lokasi yang sangat sesuai untuk sukan luncur air kerana keadaan ombak yang panjang mencecah 400 meter dan lokasi perkampungan yang menjadi pilihan
kebanyakan peluncur.

Safari Grom Search 2019 yang kini masuk tahun ketiga penganjuran itu mendapat penyertaan 52 peserta dalam empat kategori iaitu Grom (Lelaki), Grom (Perempuan) untuk 16 tahun ke bawah dan Terbuka Junior serta Tempatan Junior untuk 21 tahun ke bawah.

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: