Pengerusi Koperasi Vanilla Berhad, Encik M Feisal Mohamad Norawi, 38 (kanan) sedang memberi taklimat pada Bengkel Lanjutan (Advance) Tanaman Vanila di Dewan Seminar Angkasa Pahang Zon 2 di Temerloh.

PENGANJURAN KURSUS JELAS CARA PENANAMAN VANILA

Oleh: Fairus Mohd

TEMERLOH, 8 DISEMBER 2020: Tidak sukar untuk menanam pokok Vanila, namun jika tidak kena caranya tanaman berimpak tinggi ini tidak mampu berhasil.

Pengerusi Koperasi Vanilla Berhad, Encik M Feisal Mohamad Norawi, 38, berkata, bengkel atau kursus asas penanaman yang dilaksanakan adalah jawapan bagi memastikan setiap ahli yang mahu menanam secara serius menerima ilmu yang tepat.

Peserta membuat praktikal pada Bengkel Lanjutan (Advance) Tanaman Vanila di Dewan Seminar Angkasa Pahang Zon 2 di Temerloh.

“Kursus penanaman yang diadakan kali ini khas bagi ahli koperasi Vanila Temerloh yang hadir untuk mendapatkan fakta serta maklumat penting berkenaan pokok Vanila.

“Para peserta kursus juga berpeluang melihat sendiri bagaimana cara menanam menerusi sesi praktikal yang diadakan di ladang Amani Vanila Temerloh,” katanya ketika ditemui selepas Bengkel Lanjutan (Advance) Tanaman Vanila di Dewan Seminar Angkasa Pahang Zon 2, di sini, semalam.

Pokok vanila

Bagi ahli koperasi, Encik Nor Azman Idris, 55, berkata, peluang yang diberikan ini membantunya untuk mengendali tanaman Vanila dengan lebih baik.

Encik Nor Azman Idris, 55.

“Saya mula mengikuti kursus bersiri anjuran Amani Vanila Temerloh (siri ke-8) dan nampak potensi tinggi tanaman ini pada masa depan. Kini, sebanyak 170 pokok Vanila telah berjaya saya tanam di kawasan lapang dan sekeliling rumah di Felda Triang 1, Bera sejak lebih setahun lalu,” katanya.

Encik Mohamad Azizul Lucman, 34.

Bagi ahli koperasi dari Felda Kita Gelanggi 4, Jerantut, Encik Mohamad Azizul Lucman, 34, pula, nilai tinggi tanaman ini menjadi permulaan dia terlibat dengan Vanila.

“Dalam tempoh setahun setengah, saya sudah tanam 600 pokok Vanila di kawasan kebun dan sekitar rumah. Sebelum ini saya mengikut ayah menanam pokok koko di ladang sawit selain beberapa tanaman lain.

“Bagi saya, tidak sukar tanam pokok Vanila tapi perlu berjaga-jaga terutamanya bab pengairan, apatah lagi ketika ini musim tengkujuh..jika air bertakung akan menyebabkan pokok rosak,” katanya.

Encik Mohd Faris Hilmie Ali, 30

Sementara itu, seorang lagi ahli koperasi Encik Mohd Faris Hilmie Ali, 30, berkata, minat mula timbul selepas melihat rakannya berjinak-jinak menanam Vanila.

“Vanila merupakan komoditi bernilai tinggi di pasaran dunia, jadi memang tidak rugi jika mahu libatkan diri secara serius dengan tanaman ini. Saya juga merancang untuk tanam di kawasan rumah, jadi saya hadir pada kursus ini untuk menimba ilmu yang betul sebelum memulakan tanaman Vanila,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 1,302 total views,  9 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download