Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin.

PENEROKAAN TANAH HARAM MERUGIKAN KERAJAAN NEGERI

KUANTAN, 26 OGOS 2020: Isu penerokaan tanah secara haram di negeri ini bukan perkara baharu sebaliknya telah sekian lama berlaku sehingga mengalirkan banyak wang keluar yang sepatutnya menjadi hasil kepada Kerajaan Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin berkata, tanah haram itu bukan sahaja yang membabitkan pertanian, malah perindustrian, perladangan, perumahan termasuk gerai-gerai haram.

Justeru beliau berkata, enggan melakukan kesilapan lagi, Kerajaan Pahang yang kini dipimpin Menteri Besar, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail mencari penyelesaian terbaik bagi ‘menghalalkan’ tanah-tanah haram yang diteroka di seluruh negeri ini.

“Dalam istilah lain, Kerajaan Pahang melakukan pemutihan tanah-tanah haram di seluruh negeri ini demi memacu kegemilangan negeri ini khususnya dari sudut pembangunan ekonomi.

“Langkah itu perlu demi memastikan situasi menang-menang dapat diperolehi bukan sahaja dalam kalangan peneroka tanah malah apa yang penting hasil kepada Kerajaan Negeri.

“Saya berikan contoh, sebelum ini 30 tahun tanah Kerajaan Negeri diteroka secara haram untuk penanaman kelapa sawit, dalam tempoh berkenaan, satu sen pun tidak bayar kepada kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Jelas beliau lagi, Kerajaan Negeri tidak merampas atau mengambil alih tanah itu dan ia masih diusahakan oleh pihak yang meneroka serta ini perlu difahami dengan jelas kerana pasti ada pihak akan mempolitikkannya.

“Apa kerajaan negeri akan lakukan seperti meletakkan beberapa syarat seperti pihak terlibat (pencerobohan) perlu membayar denda, kemudian meminta mereka menjelaskan premium, sewaan atau pemilikan sementara tanah, membayar cukai dan mengutip hasil tahunan.

“Saya yakin dan percaya, DAP pastinya akan menjadi api dalam sekam membabitkan isu ini. Mereka pastinya akan menjadi pejuang kononnya membela nasib rakyat, kita lihat sahaja dalam isu membabitkan kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng sebelum ini, DAP menjadi pejuang dalam isu itu namun selepas berkuasa senyap

“Kini, DAP mahu menjadi juara dalam isu penerokaan tanah haram membabitkan pekebun durian di Raub pula. DAP ini hanya hidup bila ada isu sahaja.

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan Pahang ini adalah rutin dalam pentadbiran, itu hak Kerajaan Negeri yang bukan dirampas atau diambil balik tetapi dilakukan penyelesaian yang memberikan situasi menang-menang antara kedua-dua pihak,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: