Salah seorang penerima Rumah Kolek Makmur Sejahtera, Zulaikha Auni Zulkifli bergambar bersama geran & kunci di hadapan rumah yang telah diterima pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kolek Makmur Sejahtera, di Sungai Lembing, Kuantan hari ini.

PENERIMAAN KUNCI RUMAH SEBAGAI REZEKI ANAK-ANAK

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 17 SEPT 2020 : Menyifatkan penerimaan kunci rumah hari ini sebagai rezeki anak-anak, Khairul Nizam Muhammad, salah seorang penerima Rumah Kolek Makmur Sejahtera tidak dapat menyembunyikan perasaan terharunya.

Khairul Nizam, 27, berkata dia memohon rumah ini sejak 2016 lagi dan tidak menyangka menjadi salah seorang daripada pemilik 50 unit rumah yang dibina.

“Saya memang tak sangka, bersyukur sangat dapat rumah ini kerana ini rezeki saya dan anak-anak.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd. Rahim Muda bersama tetamu kehormat dan penerima pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kolek Makmur Sejahtera di Sungai Lembing, Kuantan hari ini.

“Saya mohon rumah ini pada 2016 sebagai cara ikhtiar saja kerana saya tinggal bersama keluarga lain di rumah nenek di sini,” katanya yang bekerja sebagai buruh di Bukit Sagu.

Dia yang kelihatan teruja juga memberitahu akan berpindah masuk ke rumah baharu dalam masa yang terdekat selepas selesai proses berkaitan.

“Kita rancang nak masuk rumah ni dalam masa terdekat. Selepas selesai proses masuk bekalan air dan elektrik.

“Sementara itu, kita pun nak bersihkan dulu rumah, beli sedikit peralatan untuk berpindah ke rumah baharu,” katanya.

Seorang lagi penerima, Zulaikha Auni Zulkifli,28, turut melahirkan rasa syukur setelah menerima kunci rumah hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd. Rahim Muda bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing, YB. Dato’ Haji Md. Sohaimi Mohamed Shah (dua kanan) dan Setiausaha Bahagian (Bahagian Perumahan), YH. Dato’ Azlan Mohd Yaman (kiri) meninjau keadaan rumah pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kolek Makmur Sejahtera di Sungai Lembing, Kuantan hari ini.

“Alhamdulillah rasa sangat bersyukur terima kunci rumah yang dah ditunggu-tunggu sejak 2017 lagi.

“Tambah lagi bila tengok penerima lain pun orang Sungai Lembing juga, orang-orang kita kenal. Jadi rasa senang nak berjiran,” katanya yang merupakan anak Kampung Sungai Kolek.

Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kolek Makmur Sejahtera ini disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd. Rahim Muda.

Rumah Kolek Makmur Sejahtera di Sungai Lembing yang siap dibina dan sudah sedia untuk diduduki.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian (Bahagian Perumahan), YH. Dato’ Azlan Mohd Yaman; Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah; dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing, YB. Dato’ Haji Md. Sohaimi Mohamed Shah.

Rumah ini dahulunya dibina dengan nama My Beautiful Neighbourhood (MyBN) adalah projek bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dengan kos binaan rumah adalah sebanyak RM40,000 dan dijual kepada penerima dengan harga RM20,000 seunit. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: