Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
KUANTAN, 15 OKTOBER 2020: Penerima unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) di negeri ini sangat berpuas hati dan berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang, YAB, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy kerana mewujudkan program ini dalam membantu rakyat yang kurang berkemampuan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, kebanyakkan mereka yang ditemui amat bersyukur kerana dipilih untuk menerima unit rumah yang diberi percuma itu.
“Mereka sebelum ini ada yang terpaksa menumpang di rumah ibu bapa, ada rumah yang uzur… Jadi dengan pemberian rumah ini kehidupan mereka selepas ini akan lebih selesa,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang di sini hari ini.
Sebelum itu, beliau mengadakan lawatan ke tapak projek RRP di Kampung Fajar dan Kampung Paya Rambutan di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perumahan, YH. Dato’ Azlan Mohd Yaman.
Sehubungan itu, beliau berkata, tiga unit RRP di dalam Dewan Negeri (DN) Lepar dan Parlimen Paya Besar itu dijangka akan dapat disiapkan dalam tempoh sebulan lagi.
“Pemilihan dibuat berdasarkan pemilihan di dalam e-Kasih. Kita jangka rumah-rumah ini akan dapat disiapkan sebelum musim tengkujuh sebab kita mahu mengelak daripada banjir,” jelasnya.
Katanya lagi, sumber kewangan bagi pelaksanaan projek itu diperoleh daripada Tabung Perumahan Rakyat Pahang dengan jumlah tidak melebihi RM55,000 selain sumbangan kerajaan negeri berjumlah RM10,000. – PAHANGMEDIA
199 total views