Stok bekalan makanan yang akan diagihkan orang penduduk di Pulau Tioman bagi menghadapi musim monsun timur laut.

PENDUDUK PULAU TIOMAN HARGAI BANTUAN HADAPI MONSUN

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Jefuddin Mohd Nasaha

PULAU TIOMAN, 29 OKTOBER 2020: Bantuan bekalan makanan bagi menghadapi Monsun Timur Laut inisiatif tahunan Kerajaan Pahang bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) amat dihargai penduduk setempat.

Penduduk Kampung Salang, Puan Zalina Ibrahim, 41, berkata, bantuan berkenaan benar-benar meringankan beban penduduk ekoran tidak dapat bekerja sepanjang monsun.

Puan Zalina Ibrahim, 41.

“Kami sudah biasa menghadapi keadaan sama setiap tahun, memang ada barang makanan yang dibeli untuk simpanan tetapi bantuan yang diberi secara berperingkat dapat mengurangkan kebimbangan apabila monsun berlangsung lebih lama.

“Bantuan diberi dua ke tiga kali bergantung pada keperluan semasa dan kami tidak begitu gusar untuk bertahan sehingga monsun berakhir,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk kampung sama, Puan Aremy Abdul Rahman, 68, berterima kasih kepada Kerajaan Pahang dan JKM kerana tidak pernah lupa pada mereka yang tinggal di pulau ini.

Puan Aremy Abdul Rahman, 68.

“Saya gembira dengan bantuan yang diberikan kerana ia menjadi lambang ingatan Kerajaan Pahang kepada kami penduduk di pulau ini.

“Apabila ditimpa musibah, kami mendapat bantuan segera dan masa sukar yang dialami sepanjang bencana mampu dihadapi dengan lebih baik,” katanya.

Penduduk Kampung Tekek, Puan Normaiza Zainol, 35, berkongsi pengalaman di mana rumahnya dilanda banjir apabila air laut pasang besar bertembung dengan air bukit (hujan).

“Dalam keadaan itu, kami putus bekalan makanan apatah lagi bot kargo membawa barangan tidak dapat masuk ke kawasan pulau kerana monsun.

“Makanan asas seperti beras, telur, minyak masak, garam, gula, tepung dan sebagainya sangat diperlukan dan bantuan yang diberi adalah sangat bertepatan dengan keperluan penduduk di sini,” katanya.

Bagi penduduk Kampung Mukut, Encik Abdul Wahab Hussin, 67, barangan yang dijual di kedai bagi penduduk di sini hanya mampu bertahan seminggu sahaja.

Encik Abdul Wahab Hussin, 67.

“Di kampung ini hanya ada satu kedai runcit jual barang keperluan asas bagi menampung keperluan 250 orang penduduk di sini.

“Selain memberi barang di luar (tanah besar), kami turut bergantung keperluan dijual di kedai. Jadi, bantuan yang dihulurkan sangat membantu penduduk ketika monsun nanti,” katanya.

Sebanyak 21 tan stok bekalan makanan asas disalurkan ke lima buah pangkalan hadapan melibatkan keperluan 3,905 orang penduduk Pulau Tioman, semalam.

Barangan tersebut diagihkan secara berperingkat bagi membantu penduduk menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada November ini. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error