Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melihat peta Projek Jalan Pos Betau ke Kampung Semoi Lama, Pos Lenjang bagi kawasan Dewan Negeri Jelai, Daerah Lipis hari ini

PENDUDUK ORANG ASLI SYUKUR DAPAT KEMUDAHAN JALAN RAYA

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUALA LIPIS, 6 NOVEMBER 2020: Penduduk di 37 perkampungan Orang Asli sekitar Pos Lenjang dan Pos Betau di sini melahirkan rasa syukur apabila Jalan Pos Betau ke Kampung Semoi Lama, Pos Lenjang di sini bernilai RM11.7 juta kini dalam proses pembinaan.

Mereka amat berterima kasih kepada kerajaan kerana dengan adanya jalan ini nanti akan memberi impak yang besar dan penduduk akan mendapat manfaat selepas ia siap pada April 2022.

Ketua UMNO Cawangan Betau, Encik Ahmad Selalu

Menurut Ketua UMNO Cawangan Betau, Encik Ahmad Selalu, masyarakat Orang Asli sangat menghargai keprihatinan Kerajaan Pahang terhadap keluh kesah rakyat sehingga terbinanya jalan raya yang dapat menghubungkan 37 kampung itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pahang terutama Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan juga Kerajaan Persekutuan kerana kami telah lama menunggu jalan ini.

“Saya bagi pihak masyarakat Orang Asli di Jelai begitu menghargai kerajaan yang telah meluluskan projek jalan ini,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Perasmian Pelaksanaan Projek Jalan Pos Betau ke Kampung Semoi Lama, Pos Lenjang bagi kawasan Dewan Negeri Jelai, Daerah Lipis di sini hari ini.

Tok Batin Betau, Encik Mohamud Batin Janda.

Sementara itu, Tok Batin Betau, Encik Mohamud Batin Janda pula menyifatkan jalan baru ini bakal memberikan kemudahan dan keselesaan terutamanya kepada golongan muda dan pelajar sekolah untuk berulang alik setiap hari.

“Sebelum ini bila hendak ke sekolah agak sukar kerana keadaan jalan yang tidak sempurna. Dengan adanya jalan ini, akan memberi keselesaan kepada mereka,” katanya.

Tok Batin Pos Lenjang, Yatim Teman.

 

Bagi Tok Batin Pos Lenjang, Yatim Teman pula berharap jalan baharu ini akan memberi kemudahan daripada segi perkhidmatan kesihatan selain memasarkan hasil pertanian kepada penduduk Orang Asli.

“Jalan ini dapat memudahkan orang kampung untuk membawa keluar hasil petai, getah, durian, pisang dan buluh. Ia juga dapat memudahkan agensi kerajaan seperti sekolah, klinik dan anak pun boleh ulang alik untuk ke sekolah,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download