Puan Norhazni Hashim, 39, menunjukan jalan baharu diturap sejauh hampir satu kilometer menuju ke rumahnya di Kampung Permatang Pauh, Pekan, semalam.

PENDUDUK LEGA KERAJAAN PAHANG BINA JALAN BERTURAP

Oleh: Mahathir Ali

PEKAN, 22 OKTOBER 2020: Penduduk di Kampung Permatang Pauh di sini kini mampu menarik nafas lega apabila beberapa jalan kampung yang menuju ke rumah mereka kini telah siap diturap.

Penantian mereka sejak beberapa tahun lalu mendapat perhatian Ahli Dewan Negeri Bebar, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang meminta mereka segera membuat permohonan malah beliau juga telah menguruskan permohonan itu dengan kadar yang cepat.

Ahli Dewan Negeri Bebar, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff bersama anak-anak kampung ketika melawat keadaan jalan yang rosak beberapa bulan lalu.

Menurut Ketua Kampung Permatang Pauh, Ustaz Mohd Nasrul Hakim Mat Daud, terdapat beberapa buah jalan kampung yang sebelum ini berlubang dan becak terutamanya selepas hujan kini telah diturap sepenuhnya.

“Selaku Ketua Kampung saya telah menyampaikan permohonan penduduk untuk mendapatkan jalan berturap kepada YB Ahli Dewan Negeri Bebar dan tidak sampai enam bulan kerja-kerja menurap jalan ini telah dilakukan.

Ketua Kampung Permatang Pauh, Ustaz Mohd Nasrul Hakim Mat Daud (kanan) bertemu penduduk yang menerima jalan berturap baru-baru ini.

“Saya berasa amat bersyukur dengan tindakan segera YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin yang telah mengangkat permohonan kepada Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dimana selepas itu tindakan menurap kesemua jalan yang rosak ini telah dilakukan pihak JKR dan agensi yang berkaitan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, menurut seorang penduduk, Puan Norhazni Hashim, 39, dia tidak menyangka jalan kampung di Lorong Durian Sebatang yang berjarak hampir satu kilometer menuju ke rumahnya diturap tahun ini.

“Saya rasa baru lagi beritahu Ketua Kampung, saya ingatkan tahun depan baru buat, rupanya tahun ini juga siap, saya bersyukur sangat-sangat… Saya ini suri rumah mengambil upah menjahit, sudah tentu dengan adanya jalan baru ini lebih ramai pelanggan mudah untuk datang ke rumah saya,” katanya.

Seorang kanak-kanak melalui jalan baharu diturap sejauh hampir satu kilometer di Kampung Permatang Pauh, Pekan, semalam.

Norhazni turut mengimbau kenangan dimana anaknya tidak dapat ke sekolah kerana kereta yang dinaiki oleh mereka tersangkut dalam lumpur dan lubang ketika hujan lebat, malah kenderaan pelanggannya juga pernah tersangkut serta terpaksa ditolak.

Seorang warga emas, Puan Siti Zaharah Awang, 64, berkata, penantian dia bersama arwah suaminya untuk mendapat jalan berturap kini telah terlaksana.

“Dulu memang susah sangat, anak-anak kecil lagi… Jalan pula sentiasa rosak, gelap tak ada lampu dan berlubang… Makcik dan arwah suami naik motosikal dengan anak-anak masa itu,” katanya.

Antara keadaan jalan yang rosak di Kampung Permatang Pauh sebelum diturap.

Bagi seorang pengusaha bengkel, Sheikh Muhammad Aizat Rahmat Sheikh Mat Arof, 31, dengan adanya jalan baharu berturap ini mudah untuknya mengusahakan perniagaan bengkel kereta kerana pelanggan mudah untuk datang.

“Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan kepada Menteri Besar Pahang, YB ADN Bebar dan Ketua Kampung yang membantu kami di sini mendapat jalan-jalan yang berturap ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: