Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan replika kunci rumah kepada pemiliknya pada Majlis Penyerahan dan Serah Kunci Projek Perumahan Penempatan Semula Nelayan Bunut Rendang, Kuantan, hari ini.

PENANTIAN 84 NELAYAN MILIKI RUMAH SENDIRI BERAKHIR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 22 JUN 2020 : Penantian 84 peserta projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) untuk memiliki rumah sendiri berakhir apabila menerima kunci pemilikan hari ini.

Majlis penyerahan kunci rumah PSN disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail kepada semua peserta dalam satu majlis khas di Surau PSN Bunut Rendang.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyambaikan ucapan kepada pemilik rumah pada Majlis Penyerahan dan Serah Kunci Projek Perumahan Penempatan Semula Nelayan Bunut Rendang, Kuantan, hari ini

YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata program PSN ini adalah antara usaha kerajaan untuk membantu golongan nelayan yang kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan untuk memiliki kediaman sendiri.

“Alhamdulillah hari ini sekali lagi usaha kerajaan membantu rakyat, hari ini kita bagi kunci kepada nelayan dalam projek Penempatan Semula Nelayan (PSN). Projek ini telah terbengkalai sekian lama dan Kerajaan Negeri tidak berputus asa terus mencari ruang dan peluang supaya projek ini dapat diselesaikan dan ianya telah terbukti dapat diselesaikan pada hari ini.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melawat salah sebuah rumah pada Majlis Penyerahan dan Serah Kunci Projek Perumahan Penempatan Semula Nelayan Bunut Rendang, Kuantan, hari ini.

“Melalui Penempatan Semula Nelayan (PSN) ini, satu komuniti nelayan dapat dibentuk untuk sama-sama bertanggungjawab bagi memastikan kebajikan, keselamatan, dan kesejahteraan penduduk diuruskan dengan baik.

“Komuniti ini juga akan memastikan pengurusan kemudahan infrastruktur yang disediakan serta aspek kebersihan terjaga dengan baik, melalui penglibatan bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuantan” katanya.

Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak; dan Pengarah Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Pertubuhan Nelayan LKIM, Haji Othman Latif.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama pemilik rumah, Rosnida Nahar, 44, dan suaminya pada Majlis Penyerahan dan Serah Kunci Projek Perumahan Penempatan Semula Nelayan Bunut Rendang, Kuantan, hari ini.

Beliau berkata rumah PSN ini akan dikategorikan sebagai perumahan kos rendah bagi memastikan peserta mendapat manfaat daripada perumahan ini.

“Dengan penetapan begini ia melayakkan peserta mendapat manfaat antaranya rumah dengan harga mampu milik, pelepasan cukai duti setem, dan deposit pendaftaran meter elektrik dan air yang rendah.

“Walaupun rumah ini tak seberapa, dengan keluasannya 40’ x 60’ dan berharga RM35,000, kalau kita lihat, persekitarannya sangat cantik dan harga pasarannya berkali-kali ganda daripada harga yang dijual. Tapi sebagai Kerajaan Negeri yang prihatin, itu nombor dua, yang penting kita dapat menyiapkan projek ini,” katanya.

Bentuk rumah yang dibangunkan untuk Projek Penempatan Semula Nelayan Bunut Rendang, Kuantan, yang berjaya disiapkan dan sudah sedia untuk diduduki.

Sementara itu, salah seorang penerima, Rosnida Nahar, 44, melahirkan gembira kerana penantiannya dan suami sejak sekian lama telah berakhir dengan pemberian kunci pada hari ini.

“Rasa seronoklah kerana ini memang impian kita nak rumah sebab sementara tunggu rumah ini kami menyewa rumah di Tanjung Api dengan sewa RM160 sebulan.

“Saya dan suami bersyukur kepada Allah kerana dapat rumah impian, terima kasih kepada Menteri Besar, LKIM, Persatuan Nelayan, dan pihak-pihak yang terlibat,” katanya.
-PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download