Pemangku Raja Pahang bersama kepimpinan Kerajaan Pahang di Pekan hari ini.

PEMIMPIN PERLU TUMPU KELUH KESAH RAKYAT- PEMANGKU RAJA PAHANG

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Mahathir Ali

PEKAN, 25 FEBRUARI 2020: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya pemimpin di Negeri Pahang menumpukan perhatian kepada keluh kesah dan kebajikan rakyat di negeri ini.

Baginda bertitah, dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar ini, rakyat menyimpan penuh harapan kepada pemimpin untuk membantu mereka.

“Usahlah terlalu berpolitik dan mengabaikan rakyat atau menjadikan rakyat sebagai landasan untuk memenuhi kepentingan peribadi semata-mata.

“Saya menghendaki kerajaan saya untuk sentiasa memberi keutamaan kepada rakyat jelata, terutamanya dalam setiap rancangan pembangunan negeri dan keraplah berjumpa dengan rakyat serta menyelesaikan masalah mereka,” titah baginda.

KDYMM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bersama YH. Dato’ Indera Nazri Abu Bakar.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Suratcara Pelantikan Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri Pahang di Istana Abu Bakar, di sini hari ini.

Turut hadir , Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama,  Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Bin Haji Muhamad dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) bersama YH. Dato’ Indera Nazri Abu Bakar (tengah) dan Yang Amat Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah (kanan).

Pada majlis tersebut, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang yang baharu, YH. Dato’ Indera Nazri Abu Bakar menggantikan YH. Dato’ Indera Haji Mohamad Roslan Harun yang telah bersara wajib pada 25 Januari lalu.

Dalam pada itu, baginda juga berharap pemimpin di negeri ini sentiasa melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan dengan penuh bertanggungjawab.

“Berikan idea dan buah fikiran yang bernas untuk melonjakkan Negeri Pahang ke arah negeri maju serta dapat mencapai sasaran hasil negeri sebanyak RM1 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini,” titah baginda.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: