Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali
PEKAN, 24 DISEMBER 2020: Kesulitan serta kesusahan hidup yang dialami penduduk harus dititikberatkan dan cuba diselesaikan melalui usaha menyenaraikan mereka bagi mendapatkan bantuan dari pihak yang berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sebagai pemimpin, pengkhususan terhadap kepentingan di dalam politik sentiasa perlu seiring dengan tugas menjaga amanah rakyat yang inginkan perubahan dan pembelaan yang sewajarnya.
“Perkara berkenaan perlu diberi perhatian ekoran masalah keciciran masih berlaku dalam menyampaikan bantuan kepada masyarakat dan kelompangan tersebut turut perlu dipikul bersama.
“Kita juga sentiasa terbuka menerima aduan dan juga permohonan dari rakyat yang memerlukan bantuan. Jika tidak terus kepada saya, boleh berjumpa pegawai-pegawai yang ditugaskan untuk membantu memantau keperluan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan insentif pelajar SPM 2020, bantuan one-off RM300 Jabatan Kebajikan Masyarakat serta cek sumbangan kerajaan negeri Pahang di Dewan Terbuka Pusat Khidmat DN Bebar, di sini hari ini.
Turut hadir, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Pekan, Encik Zulkifli Mahmud; Ketua Penolong Pegawai Daerah Pekan, Puan Safariza Ihsan serta pemimpin setempat.
Sementara itu, penerima bantuan yang juga seorang pesakit strok, Mohd Zaini Mohd Shahmi, 46, dari Kampung Baru Nenasi bersyukur dengan perhatian yang diterima.
Menurut isterinya, Wan Puziah Wan Mohamed, 45, keadaan kesihatan suaminya agak merosot terutama pada tahun lepas.
“Suami mengalami bengkak otak menyebabkan sebahagian tempurung kepala terpaksa dikeluarkan. Baru-baru ini, pembedahan memasukkan semula tempurung kepalanya telah dilakukan dan baru sahaja keluar dari hospital beberapa hari lepas.
“Saya bersyukur kerana wakil rakyat dan pemimpin setempat sentiasa mengambil berat masalah yang dialami kami dan memberi bantuan sewajarnya dalam menghadapi ujian ini,” katanya yang menjalankan perniagaan makanan secara kecil-kecilan.
Bagi penerima sumbangan insentif pelajar SPM 2020, Fena Tasha Juel, 17, menyifatkan insentif yang diberikan sedikit sebanyak membantu dia dan rakan-rakan membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan berkenaan tahun depan.
Pelajar orang asli dari Kampung Landai, Nenasi ini mengaku belajar dan ‘menghadiri kelas’ secara online lebih mencabar berbanding pembelajaran secara bersemuka terutamanya jika tiada kemudahan internet.
“Bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri ini membantu kami mendapatkan tambahan pakej internet selain penyediaan pencawang-pencawang termasuk di kawasan luar bandar membantu kami mendapatkan talian internet yang lebih laju dan jelas,” katanya. – PAHANGMEDIA
1,475 total views, 6 views today