Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Nor Yusof Ali sewaktu ditemui pemberita selepas melakukan operasi bersepadu di Jalan Tun Ismail, Kuantan hari ini.

PEMILIK PREMIS BERI KERJASAMA TUTUP OPERASI SEAWAL 7 PETANG

Oleh: Fansurina Abdullah

KUANTAN, 21 MAC 2020: Hampir kesemua premis perniagaan di daerah Kuantan mematuhi arahan penutupan premis seawal jam 7 petang yang diarahkan oleh Kerajaan Negeri Pahang, bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata, operasi bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM) diadakan bersama pelbagai agensi termasuklah Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Operasi bersepadu yang bermula jam 6 petang itu bertujuan memastikan semua premis perniagaan termasuklah kedai makan, kedai serbaneka dan pasaraya menutup operasi masing-masing bersesuaian dengan arahan yang telah dikeluarkan.

“Setakat ini hampir 100 peratus premis perniagaan mematuhi arahan yang telah dikeluarkan kerajaan negeri supaya perniagaan dimulakan dari jam 7 pagi sehingga 7 petang dan semua agensi membuat pemantauan bersepadu bagi memastikan pematuhan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan operasi bersepadu di Jalan Tun Ismail, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihak polis akan meneruskan sekatan jalan raya sehingga 31 Mac depan bagi memastikan rakyat di daerah Kuantan mematuhi arahan yang dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan bagi mengekang penyebaran COVID-19.

Katanya, selepas ini pihak polis terpaksa membuat penahanan dan amaran kepada orang ramai yang masih berdegil dan enggan mematuhi arahan supaya berada di kediaman masing-masing.

“Sekiranya terdapat urusan penting yang perlu diselesaikan, hanya ketua keluarga sahaja dibenarkan dan tidak boleh ramai di dalam sebuah kenderaan,” katanya.

Pasukan polis mengadakan sekatan jalan raya di tujuh lokasi terpilih yang menjadi tumpuan atau laluan utama orang ramai di seluruh daerah Kuantan.

Dalam perkembangan sama, beliau menasihati penduduk dan orang ramai yang berada di kawasan Tanjung Api dan Tanjung Lumpur supaya tidak berkumpul dan bersantai ketika arahan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Katanya, pasukan polis akan terus memantau kawasan tersebut bagi memastikan kejadian sama tidak berulang. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: