Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 15 JULAI 2020: Sesi persekolahan yang kembali dibuka bermula hari ini di Pahang berjalan lancar dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) normal baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sesi persekolahan hari ini membabitkan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 serta murid Kelas Peralihan dan murid Tahun 5 dan Tahun 6.
“Kita di Pahang ada 740 buah sekolah menengah dan rendah. Setakat ini kita bersyukur kerana berjalan lancar dan mengikut SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Saya lihat murid-murid seronok dan gembira. Guru-guru pun bersemangat dengan pembukaan ini. Kita harapkan semua ini berjalan lancar di sekolah nanti,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Teruntum di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Tuan Haji Zaimi Abu Bakar dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang, YH. SAC Dato’ Abdul Aziz Haji Salleh.
Sementara itu, Tuan Haji Zaimi berkata, setakat ini dua buah sekolah rendah di negeri ini tidak dibuka pada hari ini iaitu SK Chegar Perah dan SK Aur Gading yang membabitkan seramai 123 murid dan 22 guru.
“SK Chegar Perah tidak dibuka kerana dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) manakala SK Aur Gading pula tidak dibuka kerana jalan ke sekolah itu dinaiki air.
“Jumlah pelajar yang hadir ke sekolah pula pada hari ini bagi sekolah menengah seramai 89,600 orang manakala sekolah rendah 44,038,” katanya. – PAHANGMEDIA