Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail serta pimpinan tertinggi Kerajaan Pahang pada Majlis Perasmian Menara Kuantan 188 dan Jambatan Putra di Kuantan, malam tadi.

PEMBUKAAN MENARA KUANTAN 188 DIJANGKA BERI KESAN POSITIF KEPADA PEMBANGUNAN SEKITAR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto :Mahathir Ali, Muhammad Muslimi Abd Rahim dan Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 21 FEBRUARI 2021 : Pembukaan Menara Kuantan 188 dijangka memberi kesan positif kepada pembangunan kawasan pelancongan di sekitarnya.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucapan sempena perasmian Menara Kuantan 188 dan Jambatan Putra berkata ia juga merupakan sebahagian daripada siri pembangunan yang telah dirangka.

“Ia (pembukaan Menara Kuantan 188) juga dijangka bakal memberi kesan limpahan kepada tempat-tempat tarikan pelancong lain seperti Taman Kerang Kuantan, Taman Esplanade Kuantan dan Taman Zoo Mini Teruntum, yang terletak tidak jauh dari sini.

“Menara Kuantan 188 ini juga merupakan sebahagian daripada siri pembangunan yang telah dirangkakan, bagi memperkukuhkan lagi Kuantan Waterfront iaitu sebuah lagi kawasan tarikan utama di bandaraya ini.

“Inisiatif ini dijangka dapat melengkapkan lagi usaha Majlis Bandaraya Kuantan untuk menghidupkan semula Kuantan Waterfront, serta Kuantan River Cruise termasuk kawasan-kawasan sekitarnya,” katanya.

Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof menyaksikan persembahan bot berhias pada Majlis Perasmian Menara Kuantan 188 dan Jambatan Putra di Kuantan, malam tadi.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenaan merasmikan Menara Kuantan 188 dan Jambatan Putra secara maya, malam ini.

Turut berkenaan mencemar duli menghadiri majlis, Pemangku Raja Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir, Menteri Kanan Kerja Raya, YB. Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof; Yang Amat Mulia Kerabat-kerabat Bergelar; Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB. Dato’ Saifuddin Abdullah; Yang Dipertua Dewan Negeri, YB. Dato’ Sri Hj Ishak Muhamad; Timbalan Menteri Kewangan 2, YB. Tuan Mohd Shahar Abdullah; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB. Dato’ Sri Haji Ismail Haji Abd Mutalib; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; dan Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuantan, YH. Dato’ Hamdan Hussin.

Beliau berkata Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) juga telah diarahkan supaya mewujudkan jejak sejarah di sepanjang laluan Kuantan Esplanade.

“Bagi memaksimumkan potensi pelancongan Bandaraya Kuantan, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah mengarahkan Majlis Bandaraya Kuantan supaya mewujudkan jejak sejarah atau di sepanjang Kuantan Esplanade yang bakal mempamerkan warisan budaya negeri bagi tatapan pacal-pacal pengunjung,” katanya.

Tambah beliau lagi, Menara ini merupakan salah satu daripada projek berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur Negeri Pahang (ECERDC).

“Setelah siap projek ini, ia diserahkan kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada tahun lepas, bagi tujuan operasi.

“Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sangat komited bagi menjadikannya sebagai tarikan utama di Bandaraya Kuantan dan Pahang amnya,” katanya.

Menurut beliau lagi, Jambatan Putra yang turut dirasmikan malam ini juga merupakan sesuatu yang memberikan manfaat kepada orang ramai secara langsung mahupun tidak.

“Projek ini melibatkan laluan sepanjang 2.5 kilometer termasuk jambatan baru sepanjang 451 meter dan merupakan jambatan kedua selain Jambatan Tanjung Lumpur yang menyeberangi Sungai Kuantan di kawasan berdekatan Bandaraya Kuantan.

“Jambatan Putra yang siap pada September tahun lepas bertujuan menyediakan perhubungan jalan terus dari Tanjung Lumpur atau Pekan ke pusat Bandaraya Kuantan dan Bandar Indera Mahkota.

“Dengan terbinanya jambatan dan laluan baru ini, masalah kesesakan trafik di pusat Bandaraya Kuantan dipercayai akan dapat diatasi selain memendekkan masa perjalanan antara kira-kira 15 dan 30 minit dari Bandar Indera Mahkota dan Gambang ke Tanjung Lumpur,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download