Pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman Akan Dilaksanakan Bila-Bila Masa

Oleh Shahrinnahar Latib

PEKAN 4 NOVEMBER 2019: Pembinaan lapangan terbang baharu di Pulau Tioman di Rompin akan dimulakan pada bila-bila masa berikutan sudah mendapat kelulusan Kabinet dan Kerajaan Negeri.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan lapangan terbang baharu di Kampung Tekek itu kini dalam proses kerja-kerja awalan.

“Yang penting sekarang Kabinet dan Kerajaan Negeri sudah bersetuju… Tanah pun sudah ada cuma kos pembinaan pula belum dimuktamadkan lagi.

“Projek pembinaan lapangan terbang ini akan dilaksanakan oleh pihak swasta dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Pahang di Pantai Air Leleh di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Encik Abd Rahim Muda dan barisan EXCO Kerajaan Negeri Pahang.

Dalam pada itu, dalam ucapannya, YAB Menteri Besar Pahang berkata, Kerajaan Negeri sudah meluluskan pelaksanaan projek penghutanan semula kawasan terosot di daerah ROmpin, Temerloh dan Kuantan seluas 50,000 hektar.

“Projek ini telah ditandatangani pada 15 Oktober lalu. Kawasan terosot ini akan dipulihkan dengan menanam pelbagai spesies pokok hutan.

“Selain itu, pada 8 Mei lalu juga, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) juga bersetuju untuk mewartakan kawasan seluas kira-kira 132,212 hektar menjadi hutan tadahan air di bawah fungsi pengelasan hutan perlindungan,” katanya.

Katanya lagi, dari penguatkuasaan perhutanan pula, sebanyak lima operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan secara bersepadu yang melibatkan pelbagai agensi dari Januari hingga Oktober lalu.

“Bagi tempoh yang sama juga Jabatan Perhutanan juga sudah mengutip sejumlah RM762,856 bagi bayaran denda dan penalti pelbagai kesalahan hutan,” katanya.

 62 total views,  2 views today

Please follow and like us:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *