Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama pemimpin Pusat dan Kerajaan Negeri bergambar bersama penerima Surat Tawaran Peserta Rancangan Tanah Kelompok Kampung Orang Asli Gumum, Pekan hari ini.

PEMBERIAN RTK KHAS BUKAN KERANA PRK CHINI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhamad Muslimi Abd. Rahim

PEKAN, 17 JUN 2020 : Program pembangunan tanah untuk Orang Asli secara perintis di Pahang bukanlah dilakukan demi menghadapi Pilihanraya Kecil (PRK) Chini, ujar Menteri Besar Pahang.

YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata idea penubuhan Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Khas ini ialah daripada Perdana Menteri Keenam, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, yang juga Ahli Parlimen Pekan, serta bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun.

“Ia (idea penubuhan RTK Khas ini) tercetus sejak tahun 2016 lagi, yang kemudian dibawa kepada makluman Kerajaan Negeri hinggalah diusahakan dengan lebih gigih lagi dengan penglibatan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak.

“Dengan menyebutkan perkara ini, sekaligus dapat mematikan tohmahan jika ada, tentang kononnya program pembangunan tanah untuk Orang Asli secara perintis di Pahang ini, hanya dilakukan demi menghadapi Pilihanraya Kecil (PRK) Chini nanti,” katanya.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Peserta Rancangan Tanah Kelompok Kampung Orang Asli Gumum, Pekan hari ini.

Seramai 133 peserta menerima surat tawaran program pembangunan tanah RTK Khas Kampung Orang Asli Gumum melibatkan keluasan tanah kira-kira 323.75 hektar, bersamaan 800 ekar.

Turut hadir dalam majlis penyerahan ini Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad yang juga Ahli Parlimen Lipis; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Encik Bakar Unus; dan barisan exco Kerajaan Negeri.

Beliau berkata RTK Khas Kampung Orang Asli Gumum ini adalah program pembangunan tanah perintis yang akan dimajukan oleh Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri akan melantik mana-mana syarikat berkaitan Kerajaan Negeri untuk membangun dan menguruskan tanah berkenaan.

“Setiap peserta akan menerima kira-kira 2.43 hektar, bersamaan 6 ekar. Kontraktor untuk membangunkan tanah-tanah ini, biasanya dengan tanaman kelapa sawit, akan dilantik oleh SGLC terbabit.

“Peserta juga akan menerima dividen daripada hasil tanaman ini kelak dan untuk menambah pendapatan, peserta-peserta dalam kalangan Orang Asli ini juga boleh memohon untuk bekerja didalamnya,” katanya.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Surat Tawaran Peserta Rancangan Tanah Kelompok Kampung Orang Asli Gumum kepada salah seorang peserta di Pekan hari ini.

Beliau berkata seluas kira-kira 7,156.53 hektar tanah di negeri ini telahpun diwartakan sebagai Tanah Rizab Orang Asli dengan 8,958.17 hektar lagi telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri untuk pewartaan.

“Sebanyak 8,571.36 hektar lagi dalam proses permohonan untuk mendapat kelulusan yang dengan luas keseluruhannya ialah kira-kira 24,686.06 hektar atau besar sedikit daripada keluasan seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu seluas 24,346 hektar,” katanya.-PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: