Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Mahathir Ali dan Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 21 FEBRUARI 2021: Pemasyhuran Kuantan sebagai bandar raya akan memberi impak serta kesan besar terhadap bukan sahaja dalam aspek urus tadbir, malah kepada keseluruhan pembangunan daerah ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Daerah Kuantan juga dijangka terus membangun, dengan watak dan rupa bentuknya tersendiri, sebagai bandar raya antarabangsa yang sarat dengan nilai, budaya, sejarah serta ampuh ekonominya.
“Sesuai dengan tarafnya sebagai bandar raya, perkhidmatan yang bakal disumbangkan adalah sentiasa yang terbaik, supaya dapat terus menyumbang kepada pembangunan yang bersifat lestari dan inklusif,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan dan Perasmian Kompleks Bandaraya Kuantan di sini hari ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini berkenan mengisytiharkan Kuantan sebagai bandar raya dan merasmikan Kompleks Bandaraya Kuantan.
Seri Paduka Baginda juga berkenan melantik Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) YH. Dato’ Hamdan Hussin sebagai Datuk Bandar Kuantan yang pertama.
Turut berangkat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB. Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Dato’ Saifuddin Abdullah, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Sehubungan itu beliau berkata, Kerajaan Pahang juga komited dalam merangka strategi pembangunan demi membentuk komuniti bandar raya yang memiliki Minda Kelas Pertama.
“Antara usaha yang akan dilaksanakan adalah menyediakan perumahan berkualiti dan selesa dengan segala kemudahan prasarana atau kemudahan yang mencukupi dan menambah baik kawasan berfungsi sebagai pusat aktiviti fizikal, sosial dan kebudayaan.
“Malah Kerajaan Negeri juga akan meningkatkan akses kepada penguasaan ilmu pengetahuan melalui pendidikan dan membangunkan komuniti sejahtera dan sihat serta yang berdaya tahan,” katanya.
Katanya juga, selain aspek pentadbiran dan sosial, penaiktarafan Kuantan sebagai bandar raya juga akan turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi, yang bakal dinikmati oleh penduduk setempat malah, berlaku limpahan meliputi kawasan pinggir bandar dan bandar-bandar berhampiran seperti bandar Pekan dan Maran.
“Kemudahan seperti infrastruktur jalan raya, telekomunikasi dan pengangkutan akan lebih dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan semasa dan peningkatan ‘expectation’ penduduk.
“Satu projek yang bakal menjadi pencetus perubahan, khususnya, ke Kuantan ialah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 640 kilometer, yang bakal menghubungkan dua pelabuhan utama iaitu Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan,” katanya. – PAHANGMEDIA