Kaingeyen a/l Paramasivam, 34, didakwa dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas empat pertuduhan.

PEMANDU LORI DIDAKWA SEBABKAN KEMATIAN DUA PETUGAS KESIHATAN

Oleh: Fairus Mohd

ROMPIN, 11 DISEMBER 2020: Pemandu lori tangki yang menyebabkan kematian dua kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dalam kemalangan Isnin lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas empat pertuduhan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh Kaingeyen a/l Paramasivam, 34, beralamat di Bukit Setongkol Jaya, Kuantan didakwa memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian pemandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux milik Kementerian Kesihatan Malaysia , Mohd Zuhairi Abdullah, 34, dan penumpang, Julayha Kudus, 39.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan kepada seorang lagi penumpang pacuan empat roda berkenaan, Mohd Ikhwan Ramlee, 29, dan pertuduhan ketiga turut menyebabkan kecederaan kepada pemandu kereta Perodua Myvi, Azlida Mohamad Ramli, 41.
Bagi semua pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih sepuluh tahun dan denda sehingga RM100,000.

Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah ketika semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Puan Azizah Ahmad.

Tertuduh dalam rayuannya meminta agar mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan dia menanggung tiga anak yang masih kecil dan isterinya kini sarat mengandung anak keempat.

Majistret kemudiannya memerintahkan tertuduh membayar jamin sebanyak RM5,000 bagi pertuduhan pertama dan RM3,000 bagi setiap pertuduhan kedua dan ketiga. Tertuduh juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis setiap bulan.

Sementara itu, dalam kamar sama tertuduh turut berhadapan kesalahan menggunakan dadah Methamphetamine dan pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Bagi pertuduhan tersebut, tertuduh yang tidak mengaku salah ditawar jaminan sebanyak RM1,500.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puan Nurhalimatun Saadiah Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam, Tuan Ahmad Deniel Roslan.

Majistret menetapkan 15 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 1,574 total views,  3 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download