Majlis Penganugerahan Sijil Pengakap Diraja dan Anugerah Pengakap Dunia di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

PELAJAR PERLU USAHA TINGKAT NILAI TAMBAH LEBIH BERKUALITI

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 11 MAC 2020: Pelajar perlu berusaha bagi memastikan diri mereka dilengkapi dengan nilai tambah yang berkualiti di dalam pelbagai bidang di samping memberi tumpuan kepada akademik.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata, penglibatan aktif pelajar di dalam bidang kokurikulum tidak mengganggu fokus mereka terhadap pelajaran sebaliknya membentuk mereka menjadi lebih berdisiplin.

“Mana-mana pelajar yang berkecimpung dalam aktiviti ko-kurikulum atau pun pasukan beruniform ini lebih mara ke hadapan apabila melalui sesi temuduga, kerjaya dan sebagainya,” katanya.

Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah menerima cenderahati pada majlis berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penganugerahan Sijil Pengakap Diraja dan Anugerah Pengakap Dunia di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, malam tadi.

Tambahnya, penglibatan aktif pelajar dalam badan beruniform bukan sahaja melatih mereka berdikari tetapi juga memupuk perpaduan kepelbagaian kaum.

Pada majlis itu seramai 99 individu menerima Sijil Pengakap Diraja manakala enam lagi menerima Anugerah Pengakap Dunia yang disempurnakan oleh wakil rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah iaitu Yang Amat Mulia Tengku Besar Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah.

Hadir sama ialah YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Haji Sallehuddin Ishak; Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr Haji Tajuddin Mohd Yunus; Pemangku Ketua Pengakap Negara, Major Jeneral (B) Profesor Dato’ Dr. Haji Mohd Zin Bidin dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pahang, En. Amin Nollah Lateh. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: