Pasangan artis bersama beberapa individu lain dilihat makan dalam satu meja ketika dalam tempoh PKP di sebuah restoran di Lipis, semalam.

PASANGAN SELEBRITI ANTARA EMPAT DIKOMPAUN GAGAL PATUHI SOP PKP

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 13 FEBRUARI 2021 : Pasangan selebriti antara empat individu yang dikenakan tindakan kompaun selepas gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah restoran di Kuala Lipis, semalam.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata pasangan penyanyi dan pelawak itu dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM1,000 seorang.

“Atas aduan orang ramai, pihak pemantau task force COVID-19 Kuala Lipis telah mengeluarkan kompaun kepada empat individu tersebut kerana tiada penjarakan ketika makan di restoran.

“Manakala pemilik restoran juga turut dikenakan tindakan saman kerana membenarkan pelanggan duduk di satu meja melebihi dua orang sebagaimana yang dibenarkan,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan.

Beliau berkata kesemua kompaun dikeluarkan di bawah kesalahan Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Tambah beliau lagi, restoran tersebut juga telah diarahkan tutup oleh Pihat Berkuasa Tempatan (PBT) dalam tempoh segera.

“Restoran tersebut juga diarahkan tutup operasi mereka oleh PBT, agar dijadikan contoh tindakan untuk premis-premis perniagaan lain supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau turut menafikan isu bahawa pasangan ini telah menyalahgunakan kebenaran permit pergerakan rentas negeri dengan bermalam di Kuala Lipis selepas pulang dari Kota Baharu ke Kuala Lumpur bagi urusan perniagaan.

“Pasangan ini tidak salahguna borang rentas negeri, mereka boleh bermalam di situ (Kuala Lipis) atas alasan keselamatan contohnya penat jika meneruskan perjalanan.

“Jadi tidak timbul isu salahguna borang rentas negeri, yang salah dalam kes ini kerana mereka melanggar SOP semasa makan sahaja,” katanya.

Beliau turut menasihatkan para peniaga supaya mengikut SOP PKP yang telah ditetapkan bagi memastikan penularan wabak COVID-19 ini dapat dikekang.

“Saya mohon sangat-sangat kepada para peniaga yang telah dibenarkan berniaga, untuk hadkan satu meja kepada dua orang pelanggan sahaja dan jaga penjarakan sosial.

“Pastikan adanya pencatat suhu dan kod MySejahtera untuk pelanggan mendaftar masuk, dan pastikan juga premis disanitasi seberapa kerap yang boleh.

“Dan jika ada pelanggan yang tidak berpuas hati dengan SOP oleh pihak premis, mereka boleh merujuk kepada pasukan pemantau untuk kita ambil tindakan selanjutnya,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download