PAS PAHANG TOLAK KERUSI EXCO, PUAS HATI PENTADBIRAN KERAJAAN PAHANG

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib

KUANTAN, 11 MAC 2020: PAS Pahang mengambil keputusan tidak akan menuntut atau menerima sebarang jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau EXCO Pahang buat masa ini susulan berlaku pertukaran kerajaan di peringkat pusat.

Pesuruhjaya PAS Pahang, YB. Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti PAS bersepakat untuk tidak menerima jawatan EXCO buat masa ini sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“PAS Pahang melihat perjalanan Kerajaan Pahang berjalan baik dan lancar, jadi kami wakil rakyat PAS Pahang menyokong penuh barisan EXCO yang ada untuk meneruskan tugas dan tanggungjawab mereka buat masa ini.

“Justeru pihak kami tidak akan menuntut atau menerima jawatan jawatan berkenaan sehingga PRU-15 kecuali sekiranya ada arahan pada peringkat nasional dan kita akan berbincang dengan Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat Badan Perhubungan Pas Pahang di Temerloh hari ini.

YB. Ustaz Rosli Abdul Jabar

Beliau berkata, tujuan pihaknya tidak menerima jawatan berkenaan kerana mahu melihat pentadbiran Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan dengan baik dan berjalan dengan lancar.

“Kita bersedia untuk menyumbang buah fikiran dan khidmat kepakaran untuk membantu Kerajaan Negeri supaya menjadi lebih baik.

“Namun kita akan teruskan peranan semak dan imbang walaupun pada ini PAS sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan. Kita akan teruskan peranan ini semasa seperti menjadi pembangkang sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, di peringkat akar umbi pula, ahli PAS akan melibatkan diri melalui penyertaan di peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) berdasarkan tawaran oleh YAB. Menteri Besar Pahang.

“Tawaran yang diberikan ini kami terima dan sebagai permulaan kita sudah meminta ahli PAS untuk menyertai JKKK di kawasan mereka,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: