Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) menyaksikan Pertukaran Dokumen Perjanjian Pinjaman Projek Pembinaan Paip Agihan Air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang antara Kerajaan Pahang dengan Kerajaan Persekutuan antara YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Sri Dr. Sallehuddin Ishak (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBrs Encik Baidzawi Che Mat.

PAIP AGIHAN AIR RM115 JUTA AKAN DIBINA DI GEBENG

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 11 DISEMBER 2020: Paip agihan air bernilai RM115 juta sepanjang 29 kilometer (KM) akan dibina dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng di sini sebagai salah satu usaha penambahbaikan bekalan air di kawasan Gebeng.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek yang dapat menampung kapasiti sehingga 90 juta liter sehari itu merupakan satu jalinan kerjasama Kerajaan Pahang dan Kerajaan Persekutuan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah memberi pinjaman sebanyak RM115 juta untuk menjayakan projek bekalan air dari Kemaman ke Gebeng dan saya percaya dengan adanya projek ini akan dapat menyelesaikan masalah air di Gebeng dan Kuantan, InsyaAllah,” katanya.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani dan Pertukaran Dokumen Perjanjian Pinjaman Projek Pembinaan Paip Agihan Air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang antara Kerajaan Pahang dengan Kerajaan Persekutuan di Pejabat ECERDC Negeri Pahang, di sini, hari ini.

Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBrs Encik Baidzawi Che Mat; Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang, YH. Dato’ Haji Fadzilla Salleh; Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, YH. Dato’ Indera Haji Zulkifli Yaacob; Timbalan Setiausaha Kanan Bahagian Pembangunan Jabatan Perdana Menteri, YBhg. Dato’ Mohd Sallehuddin Hassan dan Setiausaha Bahagian Bahagian Pengurusan Strategik Badan Berkanun Kementerian Kewangan, YBrs. Encik Mohd Sakeri Abdul Kadir.

Beliau berkata, projek ini akan bermula pada Jun tahun hadapan dan tender akan dibuka pada Mac 2021 serta dijangka siap pada akhir 2022.

“Kita yakin dapat menyelesaikan masalah keperluan air di Gebeng dan Kuantan. Maknanya keadaan akan jadi jauh lebih baik dari sekarang ini bila projek siap nanti. Loji ini adalah penambahan dan penambahbaikan untuk keperluan pelabur dan penduduk setempat,” katanya.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) pada Majlis Menandatangani dan Pertukaran Dokumen Perjanjian Pinjaman Projek Pembinaan Paip Agihan Air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang antara Kerajaan Pahang dengan Kerajaan Persekutuan di Pejabat ECERDC Negeri Pahang, Kuantan.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Pelaksanaan Projek ECERDC, Encik Arizan Arifin berkata, projek ini akan melibatkan laluan sejauh lima kilometer daripada tangki sedia ada di Tangki Bukit Kolam di Kemaman, Terengganu dan 25 kilometer lagi melibatkan negeri Pahang.

“Dalam laluan tersebut juga kita akan membina sebuah stesen pam air di negeri Pahang kerana mengikut graviti sahaja tidak cukup dan sampai setengah jalan kita kena ada satu pam untuk melancarkan aliran air.

“Jadi air ini bukan sahaja akan memberi faedah kepada kawasan perindustrian di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Gebeng, malah akan memberikan faedah kepada penduduk sekitar juga,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram
ARTIKEL POPULAR

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download