PAHANGMART MULA BEROPERASI AHAD INI

KUANTAN, 16 APRIL 2020: Pasaraya atas talian atau portal pertama di Pahang yang dikenali sebagai PahangMart akan memulakan operasinya bermula Ahad.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Hj Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, portal ini akan memaparkan senarai pasaraya yang beroperasi dalam negeri Pahang beserta barangan jualan mereka.

“Kita wujudkan portal ini iaitu www.pahangmart.com ini adalah untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat untuk membeli barang secara online.

“Antara pasaraya yang sudah berdaftar dengan kita adalah Cowboy Mart, Eng Hong Mart, TMG Mart dan LYC Mart,” katanya ketika dihubungi menerusi Program Sembang Malam bersama Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, semalam.

Beliau berkata, selain turut menggunakan perkhidmatan penghantaran sedia ada, PahangGo (pihak yang bertangungjawab membina portal PahangMart ini) juga akan menyediakan platform penghantaran (runner).

“Orang ramai boleh memilih senarai barangan yang ada di dalam portal berkenaan, kemudian pesan dan bayar sebelum dihantar terus ke depan pintu rumah pembeli,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Hj Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika dihubungi menerusi Program Sembang Malam bersama Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, setakat ini terdapat kira-kira 4,700 peniaga bazar Ramadan yang sudah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan yang akan diletakkan di dalam e-bazar Pahang.

“Senarai peniaga-peniaga ini kita akan letak di dalam portal PahangMart untuk menjadi rujukan kepada syarikat e-hailing. Mereka boleh menghubungi peniaga bazar berkenaan untuk menjadi penghantar makanan mereka,” katanya.

Beliau berkata, kepada rakyat Pahang yang berminat untuk mendaftar sebagai penghantar (runner) ini pula, bolehlah menghubungi ‘PahangGo’ menerusi laman sosial mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

“Menerusi inisiatif ini diharap dapat membantu bukan sahaja rakyat/pengguna untuk membeli juadah Bazar Ramadan dan barangan keperluan harian lain, malah boleh membantu peniaga dan penjaja kecil untuk terus berniaga dalam tempoh yang sukar akibat wabak pandemik COVID-19 ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download