Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2020: Pahang mendatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Asia Brotherhood Centre (ABC) bagi mempromosikan produk pelancongan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Peladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, negeri ini merupakan negeri pertama menjalin kerjasama dengan ABC selepas Thailand dan Indonesia.
“Melalui perjanjian ini, ABC bersetuju untuk membantu mempromosikan produk-produk pelancongan di Negeri Pahang dan antara lainnya ABC akan mengemukakan permohonan rasmi untuk mereka menjadikan beberapa tempat di negeri Pahang ini sebagai hentian (pitstop),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Asia Brotherhood Centre dan Tourism Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Pihak Tourism Pahang diwakili oleh Pengurus Besarnya, YH. Dato’ Ishak Mokhtar manakala Asia Brotherhood Centre diwakili Pengerusinya, YBhg. Dato’ Seri Azmi Razil Razak dan turut dihadiri Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Pahang, YBhg. Dato’ Haji Idros Yahya.
Beliau berkata, laluan ini akan melibatkan laluan-laluan kampung di mana ia secara tidak langsung ABC ini bertindak sebagai rakan kongsi dapat mempromosikan industri pelancongan setempat.
“Hentian ini akan disenaraikan oleh Malaysia Local Route (MLR) iaitu sebuah jaringan laluan dan platform baharu yang mempromosikan tarikan pelancongan melalui beberapa cabang seperti industri desa, produk kraftangan, restoran, rumah tamu, chalet, kebudayaan dan kesenian dan banyak lagi di kawasan laluan mereka.
“Contohnya di Temerloh kita promosikan ikan patin, Maran (kuih tradisional), Rompin (udang galah dan Taman Negeri Rompin), Raub (Musang King), Kuantan (bandar) dan banyak lagi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi ABC, YBhg. Dato’ Seri Azmi Razil Razak berkata pihak ABC akan mengadakan Sempadan Ride Pahang pada 25 sehingga 27 Disember ini.
“Saya anggarkan minima 65 motorsikal akan mengelilingi semua daerah di Pahang yang diadakan selama tiga hari dua malam dan kalau tiada apa-apa halangan, kawasan Titik Tengah Semenanjung di Temerloh akan menjadi tempat permulaan program ini,” katanya. – PAHANGMEDIA