Dato' Sri Dr. Sallehuddin Ishak (kanan) bersama YB. Dato' Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain menunjukan jersi baru pahang di Kuantan hari ini.

PAHANG SASAR BERADA PADA KEDUDUKAN TERBAIK DALAM LIGA MALAYSIA

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Muhammad Muslimi Abd. Rahim

KUANTAN, 24 FEBRUARI 2020: Skuad Pahang menyasarkan untuk berada dalam kedudukan yang terbaik dalam mengharungi saingan Liga Malaysia 2020 yang akan bermula tidak lama lagi.

Pengendali Pahang, Encik Dollah Salleh berkata, walaupun pemain Pahang belum mendapat keserasian yang sepenuhnya namun beliau percaya pasukan Tok Gajah akan buat terbaik untuk perlawanan pertama Sabtu ini.

“Sasaran tahun ini saya rasa tidak berani nak cakap, namun sudah pasti istilah nama Pahang ini mestilah mahu yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jersi, Pengenalan Pasukan dan Mobile Apps Persatuan Bolasepak Negeri Pahang di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak.

Barisan pemain Pahang yang akan mengharungi saingan Liga Malaysia 2020

Turut hadir, ​Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain dan Pengurus Pasukan Pahang, YH. Dato’ Mohammed Suffian Awang.

Beliau berkata, walaupun persiapan tahun ini agak rumit termasuk beberapa pemain mengalami kecederaan, bekas pemain kebangsaan itu masih yakin dengan keupayaan skuad Tok Gajah.

“Saya yakin kesebelasan yang dipilih kali ini adalah yang terbaik…. Kami membawa pemain lebih berkualiti untuk beraksi pada musim kali ini,” katanya.

Sementara itu, YH. Dato’ Mohammed Suffian berkata, dengan kehadiran pemain tempatan dan import ini adalah satu gandingan yang baik untuk pasukan dalam mengharungi Liga Malaysia 2020.

“Walaupun belum dapat keserasian saya yakin dengan kepakaran dan taktikal yang dipersembahkan jurulatih, akan membawa hasil yang baik untuk pasukan Pahang,” katanya.

Musim ini, skuad Pahang mendaftar 26 pemain termasuk lima import iaitu Dickson Nwakaeme dari Nigeria, Herold Goulon (Perancis), Ivan Carlos dari Brazil, Adam Reed (Filipina) dan
Khalil Khamis (Lubnan). – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download