YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin

PAHANG PERGIAT TARIK PELANCONG DOMESTIK

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN : Penularan wabak coronavirus (COVID-19 ) nyata telah banyak menjejaskan jumlah pelancong ke negeri ini namun kehadiran pelancong dari dalam negara (domestik) masih mampu merancakkan sektor pelancongan semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, pihaknya menerima banyak laporan berkenaan pembatalan pakej percutian oleh pelancong terutamanya dari China ekoran arahan serta larangan yang dikeluarkan.

Menurutnya, keadaan semasa yang tidak ada ketetapan bila akan berakhir itu meyebabkan pihaknya memikirkan dan melaksanakan usaha bagi memperkasakan sektor pelancongan domestik.

“Kita memberi tumpuan dalam usaha menarik pelancong tempatan dan juga asing yang mahu ke negara China agar ‘melencong’ datang ke Pahang. Antara caranya ialah pertandingan video pendek yang kita adakan di mana ribuan penyertaan yang bakal kita siarkan di medium sosial akan menjadi faktor penarik.

“Ia bakal mempamerkan keindahan yang terdapat di negeri ini melalui usaha dan kreativiti oleh setiap peserta selain mempergiat kerja-kerja promosi yang dilakukan sepanjang tahun,” katanya dalam sidang media di Wisma Sri Pahang, di sini.

Hadir sama, Pengurus Besar Tourism Pahang, YBhg. Datuk Ishak Mokhtar dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Haji Edros Yahaya.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan setiap tahun Pahang menerima 90 peratus kedatangan pelancong tempatan daripada keseluruhan dan selebihnya adalah dari negara luar yang juga ‘premiere tourist’.

“Statistik tersebut menyumbang kepada usaha giat mempromosikan produk pelancongan di kalangan rakyat tempatan malah keunikan Pahang yang terkenal sebagai negeri mempunyai kelebihan ‘unlimited tourism’ telah dibuktikan dengan kedudukan Pahang sebagai destinasi pelancongan pilihan utama.

“Kita masih mampu menjana pendapatan melalui pelancongan, malah lebih rancak jika pelbagai keunikan yang ada di negeri ini dapat dipamerkan melalui usaha promosi yang dilakukan secara berterusan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: