Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato' Abd Jalil Hassan.

PAHANG NEGERI PALING PATUH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 25 MAC 2020: Pahang menjadi negeri utama yang mengetuai pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan dengan rekod yang dicatatkan menunjukkan pematuhan tidak kurang daripada 90 peratus.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Abd Jalil Hassan berkata, berikutan pematuhan baik rakyat di negeri ini, kadar jenayah turut menunjukkan trend penurunan yang ketara dalam tempoh seminggu Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

“Alhamdulillah, perbandingan kes jenayah sebelum dan selepas perintah dikenakan jelas menunjukkan penurunan ketara. Pada 1 hingga 17 Mac, sebanyak 164 kes jenayah telah dicatatkan dalam tempoh tersebut.

“Bagi tempoh 18 hingga 23 Mac pula, hanya 35 kes jenayah dicatatkan di seluruh negeri Pahang dan ia menurun sebanyak 79 peratus. Ini mungkin kerana orang ramai berada di rumah, jadi sukar untuk penjenayah mencari mangsa.

Pihak polis terus melaksanakan sekatan jalan raya bagi memastikan penduduk mengikut arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Jadi, di kesempatan ini saya berharap agar ketua-ketua komuniti seperti ketua kampung atau badan bukan kerajaan (NGO) memikirkan strategi untuk mengekalkan penurunan kadar jenayah selepas Perintah Kawalan Pergerakan ditarik balik nanti,” katanya dalam satu temubual eksklusif di Radio RTM, PAHANGfm, di sini hari ini.

Sementara itu, Dato’ Abd Jalil turut berkongsi situasi semasa sekatan jalan raya yang diadakan di 94 buah lokasi di semua 11 buah daerah dalam negeri Pahang.

“Sekatan jalan raya dilakukan 24 jam setiap hari di mana semalam (24 Mac) sekatan jalan raya melibatkan 803 orang pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyaksikan sebanyak 6,582 buah kenderaan telah diperiksa dan 1,566 daripadanya telah diarah berpatah balik.

“Kebanyakannya yang nak masuk ke negeri Pahang dari sempadan-sempadan negeri seperti Gua Musang, Cameron Highlands dan Kemaman. Saya nasihatkan kepada orang ramai agar duduk di rumah dan mereka yang telah pulang ke kampung sebelum 18 Mac, teruskan duduk di kampung dan tak perlu balik ke KL atau mana-mana lokasi lain kerana pergerakan kenderaan yang banyak akan menganggu pematuhah Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa juga bukan sekadar melakukan sekatan jalan raya kekal di satu lokasi tetapi anggota yang bertugas ada melaksanakan ‘snap check’ iaitu sekatan jalan raya yang dibuat dalam tempoh singkat iaitu setiap 10 minit di 122 buah lokasi tambahan dengan kekuatan 664 orang pegawai dan anggota PDRM.

“Setakat ini, kita lebih kepada memberi nasihat tetapi ada juga orang perseorangan yang degil sehingga kita terpaksa bawa ke balai untuk ambil kenyataan dan dilepaskan dengan jaminan polis. Apabila sampai masa nanti, kita akan ambil tindakan ke atas siasatan yang dilakukan untuk dibawa ke peringkat selanjutnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar menghubungi bank terlebih dahulu sebelum membuat sebarang urusan bagi mengelak masalah kesesakan.

“Kita tekankan soal ‘sosial distancing’ jadi ingatlah masihat pihak berkuasa dan jawatankuasa MKN iaitu gunakan masa terbaik untuk keluarkan duit di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

“Keluarkan wang hanya bila perlu dan hubungi bank bagi mengetahui bank mana yang lebih lengang seterusnya mengelak kita kena beratur beramai-ramai,” akhirinya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: