Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang, Encik Zairasyahli Syah Zakaria ketika ketika dihubungi bagi temubual eksklusif di Radio RTM, PAHANGfm.

PAHANG MASIH DALAM KEADAAN TERKAWAL

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 14 APRIL 2020: Kuantan masih berada dalam keadaan terkawal berikutan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang baik di kalangan penduduk walaupun tujuh lokasi telah dilabelkan dalam zon merah kerana memiliki taburan kes positif COVID-19 yang agak tinggi, kata Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang, Encik Zairasyahli Syah Zakaria.

Menurutnya, Perintah Kawalan Pergerakan Diperkasakan dilaksanakan di kawasan tersebut bagi tujuan memantau kaedah kuarantin di rumah dipatuhi dan secara tidak langsung dapat mengawal penularan wabak tersebut daripada menular ke kawasan lain.

“Bagaimanapun, pada waktu ini Kerajaan Negeri Pahang masih tidak menetapkan konsep Perintah Kawalan Pergerakan Diperkasakan dilaksanakan di kawasan-kawasan lain dalam daerah Kuantan.

“Penentuan kawasan yang terlibat dengan PKPD juga bergantung kepada penilaian Jabatan Kesihatan Negeri dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi bagi temubual eksklusif di Radio RTM, PAHANGfm pagi ini.

Sementara itu, beliau turut meminta agar rakyat di negeri ini lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan sebarang berita yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

“Saya berharap orang ramai tidak berlumba-lumba menyebarkan berita yang belum tentu sahih sehingga mengelirukan orang lain. Hentikan sebar berita palsu, viral yang tidak benar hanya kerana mahu menjadi pelapor terawal, jika terima sebarang maklumat atau berita sila semak dulu.

“Tindakan itu boleh menimbulkan panik atau tekanan kepada orang ramai, malah menyusahkan pihak berkuasa yang sibuk bertugas memastikan penguatkuasaan PKP dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar orang ramai dapat memberi kerjasama mematuhi peraturan dan PKP Fasa 3 yang disambung bermula esok bagi memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan dengan jayanya.

“Bagaimanapun, kita sentiasa bersedia dengan apa jua kemungkinan termasuk jika kita perlu menyambung PKP bagi fasa seterusnya. Jika kita mahu ia berakhir, kerjasama semua pihak amat diperlukan.

“Besar harapan saya termasuk semua petugas barisan hadapan negara untuk melihat musuh yang tak dapat dilihat ini berjaya ditumpaskan. Kita boleh capai hasrat ini dengan terus mematuhi arahan PKP, duduk di rumah serta meningkatkan tahap empati masing-masing melihat kesukaran semua pihak yang tidak kenal penat lelah berhadapan ancaman COVID-19 sehingga hari ini,” katanya. PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: