YH. Dato' Dr. Haji Bahari Dato' Tok Muda Haji Awang Ngah

PAHANG MASIH BEBAS COVID-19, JANGAN SEBAR MAKLUMAT TIDAK TEPAT

Oleh: Fansurina Abdullah

KUANTAN, 11 Mac 2020: “Pahang masih bebas COVID-19… Jangan sebar dan tularkan maklumat tidak tepat,” demikian tegas Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Awang Ngah ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Menurut beliau, terdapat beberapa kes yang sedang tular ketika ini melibatkan beberapa daerah seperti Pekan dan Kuantan namun masih berada dalam siasatan serta kes tersebut masih berada di bawah “Person Under Investigation” (PUI) atau masih di bawah siasatan.

Katanya, meskipun kes PUI di negeri ini meningkat kepada 50 kes sehingga semalam, namun 47 daripadanya disahkan negatif manakala tiga lagi kes masih menunggu keputusan dalam tempoh 24 jam.

“Tiga kes PUI kini berada di wad isolasi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk menerima rawatan,” katanya.

YH. Dato’ Dr. Haji Bahari berkata, kes COVID-19 di negeri ini masih sangat terkawal namun orang ramai tidak seharusnya mengabaikan penjagaan kesihatan.

Beliau juga menasihati orang ramai supaya tidak panik dengan sebarang penularan informasi yang masih belum disahkan kesahihannya serta meningkatkan penjagaan kesihatan dari semasa ke semasa.

“Orang ramai harus mengelak bersentuhan atau bersalaman untuk mengelak penyebaran COVID-19 selain memakai topeng muka dan kerap mencuci tangan menggunakan sabun dan ‘sanitizer’,” katanya.

Katanya lagi, jika orang ramai berasa tidak sihat seeloknya mengasingkan diri atau kuarantin di rumah masing-masing bagi mengelak penyebaran apa sahaja penyakit bukan sahaja COVID-19. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: