Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail minum air Sungai Terla bagi membuktikan Sungai Terla kini bersih dan selamat untuk digunakan penduduk Cameron Highlands.

PAHANG KOMITED PULIHKAN KAWASAN DITEROKAI SECARA HARAM DI CAMERON HIGHLANDS

Foto: Mahathir Ali

CAMERON HIGHLANDS, 10 SEPTEMBER 2020: Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited dalam memulihkan kawasan terosot dan diterokai secara haram di Daerah Cameron Highlands ini.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak dua siri tindakan penguatkuasaan telah dilakukan di kawasan tadahan air Kuala Terla berkait Sungai Ichat.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kepentingan rakyat sentiasa dipelihara.

Menurutnya, bagi memastikan kawasan tadahan air Kuala Terla berkait Sungai Ichat, Mukim Ulu Telom, Daerah Cameron Highlands terus terpelihara, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pahang pada 13 Mac 2019 lagi, telah meluluskan pewartaan kawasan terbabit dengan keluasan 121.12 hektar (300 ekar) sebagai Hutan Simpan Sungai Ichat.

YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail menunjukkan air Sungai Terla (kiri) dan air mineral (kanan) yang kelihatan sama jernih dan bersih.

“Aktiviti kawalan termasuk penjagaan dan penanaman pokok bagi tujuan pemuliharaan, telah dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sebaik sahaja tindakan penguatkuasaan selesai dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Lawatan Kerja YAB Menteri Besar Pahang Lawatan Kerja YAB Menteri Besar Pahang Ke Sungai Ichat dan Sungai Terla, Kuala Terla, Ulu Telom, di sini hari ini.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak, barisan Exco Kerajaan Pahang; Pengarah Perhutanan Pahang, YH Dato’ Dr. Mohd Hizamri bin Mohd Yasin dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad, Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari.

YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, selepas Ops Lestari 1 yang dilaksanakan pada 23 Februari 2019, JPNP telah memulihkan seluas 16 hektar kawasan Sungai Ichat, dengan penanaman sebanyak 13,615 anak pokok dari spesies ‘Cupressus’, ‘Meranti Bukit’, ‘Merawan Siput Jantan’, ‘Rhu’, ‘Petai’, ‘Damar Minyak’ dan ‘Gerok’.

Menurutnya, tujuan penanaman semula di kawasan Hutan Simpan Sungai Ichat itu ialah untuk mengembalikan semula kehijauan kawasan ini serta memulihkan semula Sungai Ichat yang merupakan sumber air untuk Loji Rawatan Air Kuala Terla.

Aliran air Sungai Ichat yang mengalir memasuki Sungai Terla, Cameron Highlands juga kini semakin bersih dan jernih.

Katanya, susulan kepada Ops Lestari 2 yang dilaksanakan pada 23 Disember 2019 pula, JPNP telah mengambil tindakan pantas dengan menanam 4,000 pokok daripada spesis ‘Damar Minyak’, ‘Merawan Siput Jantan’ dan ‘Meranti Bukit’, melibatkan kawasan seluas kira-kira 9.75 hektar.

“Tindakan pantas ini bertujuan untuk mengelakkan pekebun-pekebun yang terbabit, melakukan semula aktiviti mereka di dalam kawasan tersebut.

“Selain daripada itu, sebanyak tiga (3) aktiviti ‘CEPA’ (Communication, Education and Public Awareness) atau Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam telah dilaksanakan bersama-sama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Universiti Tempatan seperti Majlis Belia Negeri (MBN) Pahang dan Sultan Ahmad Shah Environmental Trust (SASET), pada 15 Februari 2020; Universiti Kuala Lumpur (UniKL), pada 5 dan 6 Mac 2020 serta Lions Club, pada 14 Mac 2020,” katanya.

Beliau berkata, hasilnya, seluas 12.25 hektar kawasan Hutan Simpan Sungai Ichat telah dipulihkan dengan menanam sebanyak 11,200 anak pokok daripada pelbagai spesis.

Menurutnya, sehingga kini, seluas 38 hektar kawasan Hutan Simpan Sungai Ichat telah dipulihkan melalui penanaman sebanyak 28,815 anak pokok. Baki kawasan yang belum ditanam akan ditanam secara kontrak.

“Secara keseluruhan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama JPNP telah melaksanakan Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemulihan Kawasan Hutan Terosot di Semenanjung Malaysia.

“Ini bertujuan memulihkan semula kawasan hutan terosot yang disebabkan bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh atau disebabkan perbuatan manusia seperti penerokaan haram dan pencerobohan melalui aktiviti tanaman pokok,” katanya.

YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Tuan Ramli bin Mohd Nor dan pegawai Kerajaan Negeri bergambar di Sungai Terla yang jernih di Kuala Terla, Cameron Highlands.

Beliau berkata, terdapat seluas 968 hektar kawasan hutan terosot di Negeri Pahang yang daripadanya, 617 hektar telah dan sedang dipulihkan sejak tahun 2017 hingga tahun 2020 ini, melibatkan peruntukan kira-kira RM24.8 juta.

Menurutnya, baki kawasan seluas 351 hektar akan dipulihkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

“Pada tahun 2017, seluas 150 hektar kawasan hutan terosot di Daerah Cameron Highlands telah dipulihkan termasuk menanam 93,750 anak pokok pelbagai sepsis. Peruntukan terlibat, kira-kira RM8.6 juta.

“Hutan Simpan yang telah dipulihkan ini ialah Hutan Simpan Bertam, Hutan Simpan Batu Gangan, Hutan Simpan Terla A, Hutan Simpan Terla B dan Hutan Simpan Bukit Jerut.

“Hasilnya Sungai Terla dan Sungai Ichat yang sebelum ini berada pada tahap empat kini sudah berada pada tahap satu dan airnya selamat diminum.

“Pada tahun 2019, JPSM meneruskan Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemulihan Kawasan Hutan Terosot di Semenanjung Malaysia di Daerah Cameron Highlands dengan memulihkan seluas 200 hektar kawasan hutan terosot termasuk menanam 88,977 anak pokok pelbagai sepsis. Peruntukan terlibat pula ialah kira-kira RM4.8 juta,” katanya.

Beliau juga berkata, bagi memastikan kawasan yang telah dipulihkan tidak lagi diterokai, JPNP sentiasa komited melakukan pemantauan secara berkala, di kawasan-kawasan tumpuan atau ‘hotspot’.

“Hasilnya, satu tangkapan ke atas seorang warganegara Bangladesh dibuat kerana kesalahan menceroboh Hutan Simpan Kial, dengan menaman pokok cili. Individu ini telahpun dituduh dan didapati bersalah di bawah Subseksyen 81(1) (e) Akta Perhutanan Negara 1984.

“Dia telah dijatuhi hukuman denda sebanyak RM8,000 dan boleh dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda tersebut,” katanya.-PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: