YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak (tengah) bergambar selepas Majlis Doa Selamat Sempena Pahang Bebas COVID-19 di Masjid Sultan Ahmad 1, di Kuantan hari ini.

PAHANG KINI BEBAS COVID-19

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 13 JULAI 2020 : Negeri Pahang kini bebas daripada penularan wabak COVID-19 setelah tiada sebarang kes positif direkodkan dalam tempoh 28 hari.

YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak berkata tempoh 28 hari ini selari dengan penanda aras yang diguna pakai oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melakukan kaedah pemantauan bagi memastikan kawasan bebas daripada wabak ini.

“Alhamdulillah, Pahang telah berjaya memutuskan penularan COVID-19. Selama 28 hari secara berturut-turut, kita tidak ada kes baharu, tidak ada kes aktif dan hari ni telah merupakan hari ke-30.

“Semua pusat kuarantin di negeri ini juga telah ditutup sejak dua minggu sudah dan orang terakhir pun telah keluar 28 hari lepas,” katanya.

YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Doa Selamat Sempena Pahang Bebas COVID-19 di Masjid Sultan Ahmad 1, hari ini.

Beliau berkata pengekangan wabak ini daripada terus menular di negeri ini merupakan satu kejayaan yang besar.

“Dengan nilai tujuh per sejuta kematian yang direkodkan, jika dibandingkan dengan jumlah penduduk di Pahang, ini adalah satu kejayaan besar untuk semua pihak di Pahang.

“Negeri Pahang telah berjaya mengekang penularan (wabak COVID-19) dan seterusnya menjadikan negeri Pahang sebagai negeri yang selamat untuk didiami. Ini semua hasil tekad dan usaha kita semua,” katanya.

Beliau berkata semua mesyuarat Jawatankuasa Bencana di negeri dan daerah akan ditangguhkan bermula esok.

“Jadi, mulai esok, mesyuarat-mesyuarat harian (Mesyuarat Jawatankuasa Bencana) ini akan ditangguhkan kerana sudah tidak ada keperluan lagi untuk dipantau, dan kerana tidak ada lagi kes-kes aktif dan kes-kes baru (direkodkan),” katanya.

Beliau berkata walaupun mesyuarat Jawatankuasa Bencana ditangguhkan namun Kerajaan Negeri tetap mengambil langkah berjaga-jaga.

“Walau bagaimanapun semua penguatkuasa, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), dan pihak keselamatan masih lagi melakukan pemantauan di setiap kawasan.

Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan Ustaz Dato’ Haji Badli Shah bin Haji Alauddin membacakan doa pada Majlis Doa Selamat Sempena Pahang Bebas COVID-19 di Masjid Sultan Ahmad 1, di Kuantan hari ini.

“Dua perkara yang kita nak pantau, yang pertama kes-kes baru kalau berulang. Sekiranya berulang, kita akan aktifkan balik Jawatankuasa Bencana Negeri, tetapi sama ada kes baru atau tidak baru (berulang), sehingga COVID-19 diisytiharkan tiada lagi atau pun vaksin ditemui, SOP (Prosedur Operasi Standard) yang telah ditetapkan oleh pihak persekutuan akan terus dipantau pelaksanaannya.

“Walaupun kami tidak lagi bermesyuarat harian, PBT bersama pihak polis dan JKNP akan melaksanakan kuasa-kuasa yang diberikan termasuk mengambil tindakan ke atas premis-premis yang melanggar SOP,” katanya.

Beliau turut berharap rakyat di negeri ini untuk kekal berjaga-jaga bagi memastikan negeri Pahang kekal bebas daripada penularan wabak ini.

“Kita semua tak boleh relax, kita semua kena bersatu mematuhi SOP. Yang paling penting, SOP kena patuh. Keduanya, kita kena sentiasa berjaga-jaga sekiranya kita berada di tempat yang terbuka kepada jangkitan, dan ketiganya, jangan lupa kita ada wabak lain yang agak serius seperti denggi.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua (petugas), pasukan polis, tentera, petugas kesihatan, kerana tanpa pengorbanan mereka, kita akan terima atau menghadapi jumlah kematian yang tinggi. Ini juga menggambarkan setiap orang telah berkorban dan menunjukkan solidariti yang tinggi (bagi mengekang penularan wabak COVID-19),” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download