PAHANG JUGA MAHU PAMPASAN JAGA TADAHAN AIR

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 16 DISEMBER 2020: Komitmen dan keutamaan Kerajaan Pahang yang komited menjaga kelestarian hutan sebagai kawasan tadahan air turut perlu diberi pampasan.

Ia sejajar dengan saranan dikemukakan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu negeri-negeri terlibat menjaga tadahan air diberi pampasan dalam bentuk kewangan.

Saranan berkenaan awalnya disuarakan kepada kerajaan Pulau Pinang untuk menyumbang dalam bentuk kewangan kepada Kedah selepas kerajaan negeri itu berkorban untuk tidak meneroka kawasan tadahan air Ulu Muda di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin menyokong saranan itu dan menyifatkan ia sesuatu yang baik dan berharap ia dikuatkuasakan kepada semua pihak dan negeri lain yang turut berkorban.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Peladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin.

“Di Pahang misalnya, jumlah kawasan diwartakan sebagai kawasan tadahan air di negeri ini setakat ini ialah seluas 258,951.88 hektar.

“Sememangnya aspek pemuliharaan hutan dan kawasan tadahan air menjadi keutamaan kerajaan negeri, khususnya dalam memastikan jumlah hutan di Pahang yang setakat ini, 57 peratus melebihi keluasan tanah di negeri ini terus berada di tahap tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook, hari ini.

Dalam pada itu katanya, permintaan bekalan air semakin meningkat sejajar dengan pertambahan penduduk, namun sumber air mentah semakin berkurangan akibat pemusnahan kawasan tadahan air.

“Negeri-negeri yang berkorban menjaga hutan dan kawasan tadahan air inilah yang menjaga kuantiti bekalan air mentah agar tidak terus berkurangan.

“Jika disebut soal kemajuan, semua negeri mahu maju dengan melaksanakan aspek pembangunan termasuk melakukan penerokaan hutan, tapi kerajaan Pahang sanggup berkorban untuk kepentingan sumber air kepada negeri lain,” katanya.

Katanya lagi jika diberi lampu hijau, kerajaan negeri Pahang akan membuat kajian terperinci berhubung jumlah (pampasan) dan semua hal berkaitan. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram
ARTIKEL POPULAR

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download