YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail membawa bot amfibia pada Majlis Penyerahan Bot Amfibia dan Handbook Pengurusan Banjir Pahang di pekarangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di Kuantan, pagi tadi.

PAHANG JADI KERAJAAN NEGERI PERTAMA MILIKI DUA BOT AMFIBIA BERNILAI RM1.8 JUTA

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 4 JANUARI 2023 : Kerajaan Pahang merupakan Kerajaan Negeri pertama di Malaysia yang memiliki dua bot amfibia yang bernilai RM1.8 juta bertujuan membantu mangsa-mangsa banjir apabila berlaku sebarang bencana di negeri itu.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembelian bot amfibia tersebut adalah antara perancangan di bawah peruntukan RM47 juta yang telah diperuntukkan pada tahun lalu bagi menghadapi bencana banjir di Pahang.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Negeri Pahang mencipta satu lagi sejarah untuk rakyat di mana Kerajaan Negeri telah membuat keputusan pada tahun lepas dan telah memperuntukkan sebanyak RM47 juta untuk membuat persediaan pasca banjir antaranya adalah pada hari ini kita menyaksikan pemberian sebuah bot yang dikenali sebagai amfibia yang terbukti dan memang kita telah kaji boleh membantu sekiranya berlaku banjir di negeri kita.

“Untuk makluman Negeri Pahang adalah negeri pertama yang membeli bot jenis amfibia ini tujuannya tidak lain tidak bukan supaya bila kita menghadapi musim banjir kita mempunyai kekuatan peralatan untuk membantu mereka-mereka yang terjejas,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bot Amfibia dan Handbook Pengurusan Banjir Pahang di pekarangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di Kuantan, pagi tadi.

Hadir sama ialah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin, barisan Exco Kerajaan Pahang, Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman.

Jelasnya, bot amfibia ini akan diuruskan oleh APM Negeri Pahang yang telah menerima latihan lengkap bagi mengendalikan bot berkenaan yang dilengkapi dengan teknologi terkini.

Semalam, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy telah mengadakan mesyuarat pembangunan bagi kawasan Dewan Negeri (DN) Jelai bagi membincangkan penyelesaian untuk mengatasi banjir kilat di beberapa lokasi yang telah dikenalpasti.

Jelasnya, Kerajaan Negeri akan melakukan usaha berterusan bagi meminimakan kejadian banjir selain mengurangkan risiko kerugian akibat bencana berkenaan di seluruh Pahang. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram