Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Kempen “Let’s Do It Right” Peringkat Negeri Pahang Tahun 2020 di Padang Awam Tanah Rata Majlis Daerah.

PAHANG CATAT LEBIHAN HASIL SEBANYAK RM33 JUTA SETAKAT INI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

CAMERON HIGHLANDS, 04 DISEMBER 2020: Kerajaan Pahang mencatatkan lebihan kutipan hasil sebanyak RM33 juta setakat hari ini berbanding jangkaan kutipan sebanyak RM744 juta sebelum berakhirnya tahun ini.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang telah menerima bayaran kutipan hasil sebanyak RM31.7 juta daripada Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

Beliau berkata, ini menjadikan kutipan hasil Kerajaan Pahang setakat ini adalah sebanyak RM777 juta dan ini merupakan satu kejayaan semua pihak.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Kita ada menerima kutipan hasil cukai tanah Persekutuan sebanyak RM31.7 juta dan ini menjadikan kutipan cukai hasil Kerajaan Negeri berjumlah RM777 juta manakala sasaran kutipan pada tahun lepas adalah RM744 juta dan ini ada lebihan dan InsyaAllah lebihan ini kita akan gunakan untuk kepentingan dan kebajikan rakyat.

“Jadi saya ucapkan terima kasih kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan kerana telah melunaskan cukai tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Kempen “Let’s Do It Right” Peringkat Negeri Pahang Tahun 2020 di Padang Awam Tanah Rata Majlis Daerah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Pengarah PLANMalaysia Pahang, Puan Harizah Dato’ Haji Hassan dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Cameron Highlands, YB. Tuan Ramli Dato’ Mohd. Nor.

Beliau berkata, namun demikian Kerajaan Persekutuan masih lagi mempunyai baki sebanyak RM20 juta untuk dilunaskan kepada Kerajaan Pahang.

“Saya harap Kerajaan Persekutuan dapat menjelaskan baki bayaran cukai ini kepada Kerajaan Pahang sebelum 31 Disember ini,” katanya.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan anugerah ketika Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Kempen “Let’s Do It Right” Peringkat Negeri Pahang Tahun 2020 di Padang Awam Tanah Rata Majlis Daerah.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Pahang menjangkakan aliran kutipan hasil cukai akan kekal positif seperti tahun ini sekiranya semua pihak mainkan peranan dan menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Jangkaan untuk tahun hadapan seperti mana tahun ini jugalah, sekiranya semua pihak dapat mainkan peranan dan menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Dan kita Kerajaan Negeri, pihak kewangan atau PTG sentiasa memaklumkan, beritahu kepada pejabat tanah, pejabat daerah, agensi-agensi, syarikat swasta tentang tanggungjawab mereka untuk membayar cukai, saya percaya trend sama akan kita perolehi pada tahun hadapan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 1,009 total views,  3 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download