Oleh : Ain Nadhirah Basha
BERA, 27 APRIL 2024 : Kerajaan Negeri Pahang bercadang mewujudkan zon perindustrian di semua sebelas daerah di negeri ini bagi menarik kemasukan pelabur asing ke Pahang.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini bagi memastikan bakal pelabur dapat membuat lebih banyak pilihan.
“Kita telah berjumpa dengan pelabur-pelabur dan kita dah maklumkan kepada mereka di Pahang ini kita ada sebelas daerah dan kita akan wujudkan zon industri di semua daerah.
“Bermakna mereka boleh membuat pilihan (tempat untuk melabur). Tidak semestinya di Kuantan sahaja, di MCKIP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Moh Karnival Makmur 2024 Daerah Bera di Laman Kerayong, Bera.
Hadir sama, Ahli Parlimen Bera, YB. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob; Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan; Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB. Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin.
Beliau berkata infrastruktur di negeri ini dalam proses dinaiktaraf dan dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun lagi menjelang 2027.
“Kita juga telah memaklumkan kepada para pelabur bahawa infrastruktur di negeri kita akan bertambah baik menjelang awal tahun 2027 apabila MRL kita siap sepenuhnya.
“Dan Kuantan Port akan dikembangkan dan ia akan memudahkan penghantaran produk-produk eksport dan juga import,” katanya.
Tambah beliau hampir semua pelabur yang hadir ke mesyuarat pelabur di China menunjukkan minat untuk melabur di Pahang namun Kerajaan Negeri akan mengkaji dan memperhalusi terlebih dahulu sebelum menerima sebarang pelaburan masuk.
Beliau bersama deligasi Kerajaan Negeri Pahang telah mengadakan lawatan rasmi ke China termasuk mengadakan Mesyuarat Majlis Kerjasama Bersama Ke-5 Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) di Qinzhou, China. -PAHANGMEDIA