Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.

PAHANG BERJAYA BENDUNG PENULARAN COVID-19

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 24 OGOS 2020: Pahang berjaya membendung wabak pandemik COVID-19 seterusnya memperlihatkan semua kluster yang wujud di negeri ini telah tamat pada bulan lalu.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kes positif terakhir didaftarkan di negeri ini ialah pada 26 Julai lalu iaitu kes warganegara Malaysia yang disaring sebelum pembedahan di hospital dan telah pun sembuh.

“Sebanyak 29 kluster wabak pandemik COVID-19 telah didaftarkan di negeri Pahang sejak kes positif pertama dicatat pada 12 Mac lalu dan semua kluster telah pun tamat. Kluster terakhir tamat ialah kluster melibatkan krew ‘kapal Elsa’ di Pelabuhan Kuantan.

“Menurut rekod seramai 32,237 orang telah disaring dan 370 orang atau hanya 1.15 peratus telah disahkan positif dan dirawat di hospital. Seramai 363 orang atau 98.1 peratus telah sembuh manakala tujuh kes atau 1.9 peratus telah mengalami komplikasi dan meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, penghargaan sudah pasti diberikan kepada kira-kira 8,000 petugas COVID-19 yang telah bertungkus-lumus berusaha membendung wabak berkenaan di negeri ini.

“Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih juga, Kerajaan Negeri telah meraikan mereka pada makan malam yang dianjurkan pada 18 Ogos lalu di sebuah hotel terkemuka di bandar Kuantan ini,” katanya.

Katanya lagi, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (P.K.P.P) yang masih berlangsung kini, segala urusan sempena persidangan Dewan Negeri juga dilakukan bersesuaian dan bertepatan khususnya dalam aspek mematuhi keperluan penjarakan fizikal. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: