YH. Dato' Dr. Haji Bahari Dato' Tok Muda Haji Awang Ngah

PAHANG BEBAS COVID-19, TIADA KES DISAHKAN POSITIF SETAKAT INI

Oleh: Fansurina Abdullah

KUANTAN, 3 MAC 2020: Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Awang Ngah mengesahkan Negeri Pahang bebas daripada Covid-19, sehingga jam 11 pagi tadi.

Beliau berkata, tiga kes melibatkan tiga sekeluarga dari Muadzam Shah, Rompin, yang tular ketika ini hanyalah kes ‘Person Under Investigation’ (PUI) di mana masih di bawah siasatan dan belum disahkan positif Covid-19.

Menurut beliau, sehingga pagi ini, kes PUI ke-24 iaitu lelaki yang berusia 34 tahun disahkan negatif Covid-19, manakala dua anaknya, berusia 6 tahun dan lapan bulan masih menunggu keputusan ujian.

“InsyaAllah, keputusan bagi kes kedua-dua beradik berkenaan akan diperolehi pada petang ini untuk mengetahui kesahihannya, setakat ini Negeri Pahang masih bebas daripada Covid-19.

“Mereka sekeluarga baru sahaja pulang dari Korea pada minggu lalu dan menghidapi simptom-simptom demam, batuk dan selsema, kerana itu mereka diletakkan di bawah kes PUI namun dua daripada kes tersebut belum disahkan.

“Bayi berkenaan sudah dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan lanjut manakala bapa dan abangnya dikuarantin di rumah mereka di Muadzam Shah, Rompin,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.

Katanya, orang ramai diminta agar menangguhkan perjalanan ke lima negara yang kini berada pada tahap kritikal Covid-19 iaitu China, Korea, Jepun, Itali dan Iran.

“Mereka yang baru pulang daripada lima negara tersebut akan dikuarantin selama 14 hari bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada Covid-19 dan mengelak daripada penyebaran virus tersebut,” katanya.

Dato’ Dr Haji Bahari berkata, meskipun jumlah PUI di Pahang meningkat kepada 26 kes, namun 24 daripada kes tersebut disahkan negatif Covid-19.

Orang ramai yang menghidapi simptom-simptom seperti demam, batuk dan selsema akan diberi pemeriksaan rapi bagi memastikan tiada penularan Covid-19 di negeri ini.- PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download